Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Guna Gajah Dalam Program Komuniti MADANI, PERHILITAN tampil beri penjelasan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengkaji serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang sedia ada susulan kontroversi penggunaan dua ekor gajah, Sanum dan Mekna dalam perarakan Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kelantan baru-baru ini.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, keputusan itu dibuat selepas jabatan mengambil maklum terhadap pelbagai maklum balas daripada masyarakat berhubung isu kebajikan gajah yang tular di media sosial.

Beliau berkata, walaupun program tersebut dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan, jabatan tetap cakna terhadap pandangan orang ramai dan komited melakukan penambahbaikan.

“Jabatan PERHILITAN cakna dan prihatin di atas maklum balas daripada masyarakat sivil dan rakyat Malaysia secara umum berkenaan isu kebajikan gajah yang telah dibangkitkan.
“Justeru, Jabatan PERHILITAN akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi mengkaji dan menambah baik undang-undang, SOP serta prosedur sedia ada bersama pihak-pihak pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, PERHILITAN juga akan mendapatkan khidmat Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkemaskan SOP secara menyeluruh.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan aspek tadbir urus dan kebajikan hidupan liar terus diperkukuhkan pada masa hadapan.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Jabatan PERHILITAN juga akan merujuk kepada Unit Integriti NRES dan Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu memperkemaskan SOP dan prosedur sedia ada secara menyeluruh dan tuntas,” ujarnya.

Dalam masa sama, Abdul Kadir menjelaskan penggunaan gajah dalam program berkenaan sebenarnya telah mendapat kelulusan selepas melalui proses yang ditetapkan.

Beliau berkata, PERHILITAN menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan pada 25 Mei lalu sempena Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun 2026 telah meneliti dan meluluskan permohonan tersebut berdasarkan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan PERHILITAN sememangnya mempunyai SOP Pengendalian Program Perarakan Gajah yang berkuat kuasa sejak 31 Disember 2016 dan semua prosedur telah dipatuhi sebelum kelulusan diberikan.

Katanya, pemeriksaan kesihatan serta penilaian kebajikan terhadap gajah yang digunakan dalam program tersebut turut dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Pemeriksaan kesihatan gajah dan penentuan gajah yang dibawa telah dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Penilaian kebajikan gajah telah dijalankan sebelum, semasa dan selepas program tersebut sepanjang pengangkutan, penyediaan dan penggunaan gajah dalam majlis tersebut telah dilaksanakan,” ujar Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, beliau berkata PERHILITAN akan terus melaksanakan tanggungjawab memelihara dan memulihara hidupan liar negara di samping menambah baik dasar serta prosedur berdasarkan maklum balas yang diterima.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Sebagai jabatan yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar, Jabatan PERHILITAN kekal komited dalam memelihara khazanah hidupan liar negara dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat umum.
“Orang awam digesa untuk bersama-sama memainkan peranan menyebarkan maklumat yang sahih dan tepat sahaja bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Sumber: Facebook Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Bisnes

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu mengenai dua transaksi kemasukan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun Fashion Valet Sdn Bhd ke dalam...

Lokal

Polis Kelantan melaksanakan pelan strategi baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri itu, termasuk menetapkan sasaran setiap ketua balai perlu...

Lokal

Seorang bapa berusia 53 tahun dihukum penjara 105 tahun selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya antara Disember 2025 hingga 19...

Lokal

Sekumpulan enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Salak mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menghasilkan kapsul kalsium daripada tulang ikan bandar raya yang...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd