Kerajaan digesa supaya mengambil tindakan lebih tegas termasuk mempertimbangkan pengharaman vape yang dicampur dengan bahan terlarang, susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan pelajar sekolah.
Elak pelajar terlibat dadah
Memetik laporan MalaysiaGazette bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, penggunaan vape yang mengandungi bahan psikoaktif berupaya memberi kesan serius terhadap perkembangan mental serta tingkah laku golongan remaja.
Beliau menegaskan fenomena itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi implikasi besar terhadap masa depan generasi muda negara.
“Saya risau kerana vape kini digunakan untuk mencampurkan dadah sintetik yang boleh merosakkan pemikiran remaja.
“Jika perkara ini tidak dibendung, kita akan berdepan masalah sosial yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, semalam.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, di sini, malam tadi.
Pada Khamis lepas, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “Piu Piu” di pasaran yang dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik menjadi bukti bahawa peranti itu wajar diharamkan.
Menurut beliau, dadah yang mengandungi campuran Fentanyl serta bahan kimia psikoaktif itu mampu memberi kesan khayal teruk sehingga menyerupai keadaan ‘zombi’ kepada pengguna.
Mengulas perkara itu, Musa berpendapat larangan menyeluruh terhadap vape wajar dipertimbangkan bagi melindungi golongan muda daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
“Kita tahu ramai orang menjual vape kerana ekonomi, tetapi kalau dia merosakkan bangsa kita, saya rasa eloklah kita haramkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan pemulihan dan pendidikan perlu diutamakan terhadap pelajar yang terlibat, bukannya terus dikenakan hukuman berat.
“Kita tidak mahu pelajar sekolah terus dihantar ke penjara. Mereka perlu dibimbing dan dipulihkan supaya dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Musa selaku Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) memaklumkan pihaknya bersedia menggerakkan kempen kesedaran mengenai bahaya vape dan dadah dalam kalangan pelajar di sekolah.
Beliau berkata, sebelum ini beliau sering dijemput memberikan ceramah dan penerangan di sekolah berkaitan pelbagai isu membabitkan pelajar.
“Namun setakat ini, jumlah program yang dijalankan masih terhad kerana setiap sesi memerlukan kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum boleh dilaksanakan di sekolah.
“Bagaimanapun, sudah ada dua atau tiga sekolah yang menjemput kami untuk mengadakan sesi penerangan kepada para pelajar.
“Saya berharap lebih banyak sekolah akan tampil bekerjasama bagi memastikan usaha memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan muda dapat diperkasakan,” ujarnya.
Artikel lain: PAS Sokong Larangan Vape Di Pahang, Seru Bantuan Buat Peniaga Terlibat
Dalam pada itu, Musa turut memberi jaminan bahawa MCCC bersedia menjadi penghubung antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani isu keselamatan serta kebajikan mangsa jenayah.
“Kita telah mewujudkan kerjasama erat dengan pihak polis dan masyarakat sejak sekian lama.
“Kita berharap dapat membantu lebih ramai rakyat, bukan sahaja di Selangor bahkan melalui rangkaian yang telah diwujudkan di Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan,” tambahnya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)







































