Pemain Selangor FC, Faisal Halim menyuarakan hasratnya untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas penstrukturan semula skuad kebangsaan baru-baru ini.
Faisal Halim mahu beraksi semula bersama Harimau Malaya jika diberi peluang
Foto: Facebook Faisal Halim
Menurut laporan Harian Metro, pemain berusia 27 tahun ini mengesahkan tahap kecergasannya kini telah mencapai 100 peratus walaupun masih berusaha untuk mencapai prestasi terbaiknya.
“Saya sudah dapat ‘endurance’ kecergasan saya balik, saya berharap sangat tahun baharu umur pun sudah berubah ada (nombor) ‘7’ di belakang, insya-Allah saya akan kembali menjadi Faisal Halim.
“Sekarang sudah sampai waktu untuk saya kembali, bagi masa dan ruang untuk saya perbetulkan apa-apa yang ‘berkarat’, saya nak cari lagi sentuhan berbeza seperti jaringan, kawalan bola dan kepantasan.
“Saya perlu kerja keras untuk ‘catch up’ sikit saja lagi, saya pun sudah main macam normal dan sudah bermain 90 minit,” jelasnya kepada pemberita.
Artikel lain: Rob Friend Dilantik Sebagai CEO Harimau Malaya
Beliau tetap berlapang dada sekiranya tidak terpilih selepas hampir setahun tidak mendapat panggilan kebangsaan akibat kecederaan.
“Saya kira, mudah sahaja, kalau saya bagus, ambillah saya (beraksi), kalau saya tak bagus, ketepikan saya, saya masih ada kelab saya (Selangor FC) dan boleh berusaha dan buat yang terbaik untuk kelab saya,” katanya.
Terdahulu, Faisal ditemui ketika menghadiri Kejohanan Bola Sepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 Tahun anjuran Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim dan Skuad Bola Sepak Rembat Dadah di Mengkuang Titi, Penanti.
Beliau turut bertindak sebagai jurulatih kepada Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim A dan B dalam kejohanan yang menarik penyertaan 18 pasukan dari Kedah dan Pulau Pinang.
Sumber: Harian Metro (Siti Aminah Mohd Yusof)