Connect with us

Hi, what are you looking for?

Sosial

Dua Beradik Hilang Kaki Kanan Akibat Nahas, Bangkit Jual Cendol Bantu Keluarga

Kehilangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bukan penghalang buat dua beradik dari Kampung Seri Lebak, Temerloh untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan kembali mengusahakan perniagaan cendol demi membantu meringankan beban keluarga.

Menurut laporan Sinar Harian, dalam nahas yang berlaku pada 7 Februari tahun lalu, motosikal dinaiki Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, dan kakaknya Nik Haznita Saffiya, 20, bertembung dengan sebuah lori sehingga kedua-duanya mengalami kecederaan parah yang memaksa kaki kanan mereka dipotong.

Foto: TT @azieraaw

Menurut Nik Haziera, sebelum ini mereka membantu abang mengendalikan perniagaan cendol, namun selepas kejadian itu mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan tersebut kerana tidak sanggup melihat bapa mereka, Nik Husmadi Ismail, 46, bersendirian menanggung perbelanjaan keluarga.

“Kami kasihan melihat abah yang bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Saya dan kakak sepakat bangkit semula dan berniaga seperti dahulu untuk membantu abah dan umi,” katanya.

Foto: TT @cendolmelelehtemerloh

Bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kini bergelar atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara itu mengakui kehidupan selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan pergerakan yang lebih terbatas.

Katanya, sebelum ini mereka sudah biasa melakukan pelbagai kerja sendiri termasuk mengangkat peralatan, memasang kanopi dan menguruskan perniagaan tanpa bantuan.

“Dulu kami berdua memang berdikari, mampu mengangkat barang untuk berniaga, memasang kanopi serta menguruskan pelbagai kerja sendiri.
“Tetapi selepas menjadi OKU, banyak perkara tidak lagi mampu dilakukan sendiri dan memerlukan bantuan orang lain. Itu perkara paling sukar untuk saya terima,” ujarnya.

Walaupun diuji dengan kehilangan anggota badan, Nik Haziera berkata dia dan kakaknya reda menerima ketentuan itu serta tidak mengalami tekanan emosi.

“Alhamdulillah, sejak awal lagi saya dan kakak dapat menerima apa yang berlaku. Kami tidak mengalami kemurungan dan bersyukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan,” kongsinya lagi.

Foto: Sinar Harian

Selain kehilangan kaki, Nik Haziera turut mengalami kecederaan serius pada tangan kanan yang masih memberi kesan sehingga kini.

Ujarnya, tangan tersebut hampir dipotong kerana banyak saraf dan tisu rosak, menyebabkan ia sering sakit, lemah serta kebas, sekali gus menyukarkan proses menyediakan cendol.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Tangan kanan saya hampir dipotong kerana banyak saraf dan tisu rosak. Sehingga kini, tangan saya masih kerap sakit, lemah dan ada kalanya kebas.
“Sebab itu saya memerlukan bantuan kakak ketika menyediakan cendol, terutama bagi kerja yang memerlukan tenaga.
“Cabaran paling besar ialah apabila pelanggan meminta perkhidmatan pandu lalu kerana kami tidak dapat bergerak pantas untuk memenuhi permintaan itu,” ujar Nik Haziera.

Foto: Carian Google

Bagaimanapun, katanya, sokongan orang ramai dan pelanggan yang memahami keadaan mereka menjadi pembakar semangat untuk terus meneruskan perniagaan.

“Alhamdulillah, cendol kami mendapat sambutan menggalakkan dan ramai datang selepas mengetahui kisah kami.
“Sepanjang tempoh pemulihan, saya sering bersiaran langsung di TikTok dan sokongan serta doa orang ramai termasuk keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk terus bangkit.
“Sehingga kini, kami tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan,” luahnya.

Dalam pada itu, Nik Haziera turut menitipkan pesanan kepada individu yang sedang berdepan ujian hidup supaya tidak mudah berputus asa.

“Jangan mudah mengalah kerana hidup masih panjang dan anggap setiap ujian sebagai cabaran untuk diteruskan, bukan penghalang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Norawazni Yusof)

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Seorang pemandu e-hailing yang tular selepas dipercayai memukul bekas isterinya di kawasan parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi akhirnya ditahan polis...

Sosial

Jasa Allahyarhamah Normah Sabar tidak terhenti selepas pemergiannya apabila wanita yang dikenali sebagai juruukur wanita pertama negara itu turut menyumbang sinar baharu kepada sekurang-kurangnya...

Sosial

Bekas adik ipar usahawan dan personaliti media sosial, Iqbal Zulkefli iaitu Anes Ayunie kini berada dalam keadaan stabil selepas mengalami komplikasi ‘placenta accreta’ sejurus...

Sosial

Seorang wanita merayu bantuan orang ramai menerusi platform Threads untuk mengesan bekas suaminya yang didakwa menumbuk mukanya ketika proses penyerahan anak di Bangi, petang...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd