Pakar urus tanah dan jurulatih penjenamaan diri, Muhammad Khairul Jamain, meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa berlaku layanan ‘double standard’ terhadap kes membabitkan dirinya berbanding beberapa isu pencerobohan tanah lain yang pernah tular di negara ini.
Rasa dilayan double standard berbanding isu-isu viral sebelum ini
Menurutnya, tindakan yang dikenakan terhadap dirinya dan seorang rakan yang membantu menggunakan jentera berat (excavator) untuk membuat laluan ke tanah miliknya di tepi sungai terlalu keras, berbanding kes-kes lain seperti di Raub, Pahang dan Dengkil, Selangor.
“Saya berasa sangat kecewa sebab layanan yang diberi sungguh berbeza dengan kes saya dan sahabat saya seorang pemilik jentera berat (excavator) yang hanya ingin membuat jalan ke tanah saya.”
![]()
Rasa terima layanan double standard bila pihak berkuasa cepat sahaja bertindak lepas pengadu buat laporan
Katanya, tujuan mereka hanyalah untuk membina jalan masuk sejauh kira-kira 150 meter ke kawasan tanah miliknya, namun kerja itu dihentikan apabila seorang wanita mendakwa mereka telah menceroboh tanahnya walaupun sempadan tanah tidak dilanggar.
“Kami tak main redah, siap jumpa ketua kampung, beliau sambut baik dan kata ‘asalkan tak ceroboh tanah orang lain’… saya akui kesilapan saya tapi untuk kesalahan pertama di mana budi bicara?”
Sita excavotor tanpa waran & notis mahkamah
Insiden menjadi lebih tegang apabila pihak polis dan pegawai pejabat tanah hadir ke lokasi dan menyita excavator tanpa sebarang waran atau notis mahkamah.
“Saya terkedu, semudah itu kuasa digunakan tanpa budi bicara? Saya minta excavator itu dilepaskan kerana pemiliknya tak bersalah, pemiliknya menangis sebab itu satu-satunya mesin yang dia ada untuk cari rezeki,” katanya.
Berdepan tindakan undang-undang pula
Kini, mereka berdepan siasatan bawah Seksyen 425 dan 426(5) Kanun Tanah Negara, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.
Permohonan rasmi tidak dibalas berbulan-bulan
Khairul turut mempersoalkan keengganan pihak berwajib membalas permohonan rasmi yang telah dihantar beberapa bulan lalu serta tindakan pantas yang dikenakan terhadap mereka berbanding kes lain yang berlarutan bertahun-tahun.
“Kami bukan penjenayah! Kami tak buat rumah sewa, tak jual hasil hutan, tak gali lombong. Malah saya keluar duit sendiri untuk buat jalan itu. Lebih menyedihkan, sehingga sekarang, permohonan rasmi yang saya hantar kepada JPS dan pejabat tanah belum dijawab.”
![]()
Artikel lain: Isu Musang King: Pahang Nafi Langgar Perintah Mahkamah, Tegaskan Tanah Terlibat Sah Milik Negeri
Beliau berharap penulisan yang dikongsikan itu dapat membuka mata pihak berkaitan serta meraih sokongan moral untuk pemilik excavator yang kehilangan punca pendapatan sejak jentera miliknya disita.
Sumber: Facebook Khairul Jamain