Lelaki yang sebelum ini tular mendakwa menjadi mangsa serangan ketika beratur membeli sarapan di sebuah premis nasi lemak di sekitar Puncak Alam memilih untuk memaafkan individu yang terlibat selepas suspek tampil menyerah diri kepada pihak polis.
Menurut Ahmad Zhafri Samsudin, perkembangan terkini kes tersebut menunjukkan suspek telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk memberi keterangan selepas hampir tiga hari kejadian berlaku, hasil tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dia turut menzahirkan penghargaan kepada pihak polis atas usaha siasatan dan tindakan pantas dalam mengesan individu terbabit.
“Alhamdulillah, selepas hampir tiga hari, hasil usaha berterusan pihak Polis Diraja Malaysia, khususnya Unit Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh, individu yang terlibat telah tampil menyerah diri dan hadir ke IPD Sungai Buloh untuk memberikan keterangan
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Faris, serta semua anggota yang terlibat dalam usaha mengesan beliau,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahmad Zhafri mengambil pendirian untuk tidak bertindak secara emosi dan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang, selain memberi ruang untuk memaafkan individu berkenaan.
“Dengan hati yang terbuka dan penuh keinsafan, saya memilih untuk memaafkan beliau. Jika Rasulullah S.A.W. mampu memaafkan umatnya, siapalah saya yang penuh dengan kekurangan ini untuk tidak memberi ruang kepada seseorang memperbaiki kesilapan.
“Saya tidak memilih kekerasan. Saya memilih undang-undang. Mungkin keputusan ini tidak akan memuaskan hati semua pihak, namun sebagai seorang anak, suami, bapa, Teknologis Profesional dan pekerja sektor korporat, saya percaya bahawa tindakan berlandaskan undang-undang adalah jalan yang lebih baik daripada membalas dengan kemarahan,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa insiden tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
“Kepada beliau, jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Saya berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.
“Namun sekiranya insiden yang sama berlaku pada masa hadapan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” jelas Ahmad Zhafri.
Mengulas kenyataan yang tular ketika kejadian, dia menjelaskan bahawa ungkapan berkenaan merujuk kepada prinsip “kedaulatan undang-undang” sebagai asas penyelesaian konflik secara adil.
“Ketika kejadian berlaku, saya ada berkata: ‘Pak cik tak kenal saya siapa. Pak cik tak tahu apa yang saya boleh buat dan siapa yang berada di belakang saya.’”
“Hari ini saya ingin jelaskan maksud kata-kata itu. Inilah yang berada di belakang saya, kedaulatan undang-undang,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mendakwa ditumbuk ketika beratur membeli sarapan di sebuah premis nasi lemak di Puncak Alam selepas berlaku salah faham apabila dia terbatuk di belakang seorang lelaki warga emas ketika menunggu giliran.
Sumber: Facebook Ahmad Zhafri Samsudin







































