Isu keselamatan di sebuah apartment di Puchong, Selangor menjadi perhatian selepas seorang penduduk mengadu mengenai binaan haram yang didakwa menghalang laluan tangga utama di kawasan kediaman mereka.
Aduan itu dikongsi melalui kiriman WhatsApp dan diterima oleh seorang pengguna Facebook, Max RoCo yang kemudian berkongsi isu tersebut sehingga tular di platform media sosial.
Menurut pengadu, tangga itu merupakan laluan penting bagi penduduk naik dan turun, manakala di tingkat atas masih terdapat beberapa unit kediaman yang dihuni.
Bagi Max RoCo, dia menekankan bahawa binaan berkenaan boleh menimbulkan risiko keselamatan yang serius, terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.
“Bayangkan sekiranya seorang kanak-kanak tergelincir atau warga emas terlanggar binaan itu, atau apabila seseorang membawa barang besar seperti tilam atau meja, ia boleh menyebabkan kemalangan.
“Kadang-kadang, masalah besar bermula daripada perkara kecil yang tidak difikirkan dengan common sense,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Sementara itu, Max RoCo turut menekankan bahawa adab dan sikap menghormati ruang bersama merupakan asas kepada keharmonian masyarakat.
“Orang yang beradab tidak akan melakukan perkara sebegini. Sekiranya kita benar-benar mahu bercakap tentang keharmonian, ia harus bermula dengan menghormati persekitaran dan jiran kita sendiri.
“Semua ini sebenarnya bermula daripada didikan dari rumah,” ujarnya.
Isu terbabit menyoroti kepentingan tindakan proaktif pihak berkuasa dan masyarakat dalam memastikan ruang awam selamat, kemudahan bersama dihormati, dan nilai keharmonian di kawasan kejiranan dipelihara.
Sumber: Facebook Max RoCo







































