Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh suspek kes pecah rumah ketika menjalankan tugas di Taman Golf, di sini, petang semalam.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek yang cuba melarikan diri.

Foto: FB Lolo Ca’a
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
“Lima anggota JSJ digerakkan ke lokasi. Sebaik tiba, mereka mendapati beberapa suspek sedang mencuri peti besi dari rumah tersebut.
“Ketika operasi dijalankan, salah seorang suspek bertindak agresif dengan merempuh mangsa yang baru keluar dari kenderaan pasukan. Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Artikel lain: Tikam Anggota Polis Di Pasar Pudu, Suspek Direman Hari Ini
Menurut Adzli, salah seorang suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian, manakala tiga lagi melarikan diri menaiki kenderaan sama yang telah rosak akibat pelanggaran.
Tiga suspek kemudian bertindak melarikan sebuah lagi kereta milik sepasang suami isteri warga emas di sebuah hotel berdekatan. Mereka menarik keluar pemandu lelaki dan membawa bersama isterinya yang beraa di tempat duduk penumpang hadapan.
Bagaimanapun, kereta tersebut terbabit dlaam kemalangan di kawasan Kepala Batas sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek tidak lama kemudian.

Foto: FB Ary Aery
“Semua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun dan dipercayai berasal dari Johor. Semakan rekod mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kes pecah rumah dan curi kenderaan.
“Dua lagi masing-masing memiliki 30 dan enam rekod, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod jenayah,” ujarnya.
Adzl iturut memaklumkan bahawa modus operandi kumpulan itu menunjukkan mereka bergerak merentasi negeri dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kejadian ini berpunca daripada maklumat dalaman.
Pemeriksaan awal ke atas rumah terlibat mendapati kesan umpil dan kerosakan pada pintu utama, namun tiada penghuni dalam rumah semasa kejadian.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek, termasuk yang merempuh mangsa serta kenderaan yang dicuri telah berjaya ditemui oleh polis.

Foto: Malaysia Gazette
“Mangsa, Koperal Mohd Hafizul berasal dari Setiu, Terengganu dan meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak berusia antara empat hingga 11 tahun.
“Beliau gugur ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab. Kehilangannya amat dirasai seluruh pasukan, dan kita akan pastikan keadilan ditegakkan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini mahupun keluarga mangsa demi menjaga sensitiviti semua pihak.
Sumber: Sinar Harian (Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor)
