Anak kepada pasangan suami isteri yang cedera parah dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Farah Natasya Faizal tidak dapat menyembunyikan rasa kehilangan yang menyelubungi dirinya sejak insiden itu berlaku pada Sabtu lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Farah masih terbayang-bayang detik sebelum tragedi berlaku apabila pada jam 2.54 petang, ibunya menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan mereka hampir tiba di Plaza Tol Duta dan ketika itu ibu bapanya bersama seorang sepupu dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kampung Baru.

Foto: Harian Metro
“Saya baru lepas mandi dan terus balas mesej. Saya dah siap nak turun ambil mereka sebab rumah kami jenis kondominium, jadi kena tunggu di bawah.
“Tapi apabila nampak hujan lebat, hati saya mula rasa tak sedap,” katanya
Farah berkata beberapa mesejnya tidak berbalas dan ketika dia cuba menghubungi, panggilan dijawab sepupunya yang memaklumkan berlaku kemalangan.
Tanpa membuang masa, dia terus ke lokasi kejadian sebelum melihat bapanya terbaring di atas jalan raya, manakala ibunya berada dalam keadaan separuh sedar di dalam ambulans.
“Saya panggil mama (selepas kemalangan) dia beri maklum balas tapi tak buka mata, tak bercakap.
“Saya ikut dia ke hospital. Sampai di hospital, mama dah tak balas langsung. Gerak jari pun sikit saja.
“Saya tak pernah sehari pun tak bercakap dengan mama. Tapi sekarang, bila saya panggil dan dia tak sahut, hati saya rasa kosong,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pasangan suami isteri yang menunggang motosikal jenis Benelli TRK 502 dirempuh dari arah kanan oleh Nissan Navara dan akibat impak kuat menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Lelaki berusia 53 tahun itu mengalami retak pada tulang selangka dan luka di kaki, manakala isterinya, 49, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala, tulang rusuk kanan patah serta kecederaan pada buku lali dan kini ditidurkan bagi rawatan lanjut.
Farah memberitahu, bapanya kini sedang menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Zon Kuning Hospital Sungai Buloh.

Foto: Berita Harian
Sebagai anak, Farah mengakui dia tidak sanggup menonton rakaman kemalangan yang tular membabitkan ibu bapanya. Namun, dia menegaskan agar pemandu pikap terbabit bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.
“Kami sekeluarga serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Tapi kami tetap tuntut keadilan. Biarlah pesalah dihukum dengan setimpal,” tegasnya.
Sementara itu, suspek lelaki berusia 32 tahun dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi tujuan pendakwaan selepas direman selama dua hari.
Terdahulu, polis memaklumkan suspek yang ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan bukan pemilik sebenar kenderaan pacuan empat roda terbabit.
Sumber: Harian Metro
