AirAsia tampil memohon maaf secara terbuka dan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih inklusif susulan insiden sebuah keluarga tidak dibenarkan meneruskan penerbangan dari Singapura ke Kuching pada Mei lalu.
Kenalkan SOP baharu
Memetik laporan daripada Berita Harian, langkah itu diumumkan selepas syarikat penerbangan berkenaan selesai menjalankan semakan menyeluruh terhadap kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berkeperluan khas, sekali gus membuka ruang kepada penambahbaikan dalam proses perkhidmatan mereka.
Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X (Kumpulan AirAsia), Kapten Saravanan Subramaniam berkata pihak pengurusan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami keluarga terbabit.
“Walaupun keputusan dibuat selaras dengan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang berkuat kuasa pada masa itu, ia tidak pernah menjadi niat kami untuk menghalang mana-mana tetamu daripada melakukan perjalanan.
“Insiden ini membuka peluang untuk kami meningkatkan proses bagi menyokong tetamu yang mempunyai keperluan khusus dengan lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, SOP yang dipertingkatkan itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan.
Keluarga sambut baik permohonan maaf
Sementara itu, penumpang yang terkesan, Syarifah Ella Wan Wahab menyifatkan tindakan AirAsia sebagai satu perkembangan positif bukan sahaja untuk keluarganya, malah bagi agenda keterangkuman golongan berkeperluan khas secara keseluruhan.
Menerusi hantaran di Threads, beliau mengesahkan telah menerima permohonan maaf rasmi, bayaran balik penuh dan tawaran penerbangan percuma daripada syarikat penerbangan tersebut.
“Saya amat menghargai kesediaan yang ditunjukkan untuk mendengar dan mengambil langkah membina. Aksesibiliti dan keterangkuman bukanlah keistimewaan khas, ia adalah hak asasi,” katanya.
Menurut Syarifah Ella, antara perubahan paling penting adalah pengiktirafan penggunaan Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD) yang kini dibenarkan untuk individu berumur enam bulan ke atas termasuk penumpang berkeperluan khas, tertakluk kepada arahan pengilang.
Sebelum ini, kemudahan itu hanya dibenarkan untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga tiga tahun dengan berat maksimum 18 kilogram.
“Jika perjalanan kami menyumbang ke arah memastikan kanak-kanak kurang upaya lain dapat menaiki penerbangan dengan maruah, ia telah memenuhi tujuan yang jauh lebih besar,” katanya.
https://www.threads.com/@syarifahella/post/DZUzSKaEu_h?xmt=AQGzhkzYsrr9Nh9liBZw4-7VtoqkVZXGxKPk-id0_js1-MQ
Terdahulu, kisah Syarifah Ella menjadi perhatian ramai selepas beliau mendakwa diarahkan keluar dari pesawat bersama anak perempuannya, Zara yang menghidap Cerebral Palsy akibat isu teknikal berkaitan penggunaan kerusi khas yang dibawa bagi menyokong keadaan fizikal anaknya sepanjang penerbangan.
Sumber: Berita Harian (Suraya Ali) Thread syarifahella







































