Kementerian Pertahanan (MINDEF) nafi dakwaan berita tular tentang pemberhentian kesemua panglima dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.
Menerusi satu kenyataan, pihak kementerian memandang serius kenyataan tular tersebut yang mendakwa adanya pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) serta pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Susulan itu, Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kebenaran kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan,” katanya.
Kredit foto: Google
Dalam pada itu, MINDEF juga telah membuat laporan berkenaan berita palsu itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan berita tidak benar tersebut.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif terhadap pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan,” katanya.
Kredit foto: Google
Ditegaskan bahawa penyebaran berita palsu adalah kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.