Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melanjutkan pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) hingga 30 April depan, tertakluk terma dan syarat kelayakan ditetapkan.
PETRA lanjut rebat pemasangan sistem solar
PETRA menerusi satu kenyataan berkata, perincian mengenai program SolaRIS pula boleh didapati di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di www.tnb.com.my.
Malah, turut diumum penambahbaikan garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan menerusi Program Net Energy Metering (NEM).
“Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV,” kata PETRA hari ini.
Susulan itu, selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon oleh pengguna NEM, PETRA bersetuju supaya pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM.
“Kedua, Program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar PV disamping menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.
Artikel lain: Permohonan Kuota Program NEM Dibuka Semula – PETRA
Sementara itu, PETRA menerusi kenyataan sama berkata kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW agar lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.