Seorang lelaki warga Kemboja dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar kerana merogol anak kandungnya selama empat tahun sehingga hamil dengan usia kandungan empat bulan.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang berusia 38 tahun dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah apabila pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak kandung berusia 13 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, antara 3 hingga 4 pagi sepanjang Ogos lalu.
Foto: Harian Metro
Lelaki Kemboja Dijatuhi Hukuman
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) memaklumkan seorang pesakit bawah umur didapati hamil ketika menerima rawatan.
Siasatan polis mendapati mangsa mengalami sakit perut sebelum dibawa tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital itu.
Hasil siasatan mendapati mangsa dirogol bapa kandung sejak berusia sembilan tahun dan kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan itu pada Ogos lalu.
Kronologinya, mangsa sedang tidur dalam bilik dan tertuduh menyelinap masuk seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.
Namun, tertuduh berhenti melakukan perbuatan itu selepas mangsa kerap muntah dan sakit perut.
Mangsa turut memberitahu bahawa dia dirogol antara empat hingga lima kali seminggu tanpa menceritakan kejadian kepada sesiapa pun.
Tertuduh yang juga pemegang kad pengenalan sementara, berkahwin dengan warga tempatan namun berjauhan dengan isteri yang kini bekerja dan menetap di Australia sejak tujuh tahun lalu.
Susulan laporan diterima oleh HSNI, polis segera membuat tangkapan terhadap tertuduh di rumahnya kira-kira 4 pagi pada 17 Disember lalu.
Artikel lain: Larikan Dua Kanak-kanak Perempuan, Lelaki Dipenjara Dua Tahun
Prosiding berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman selari dengan selain dipenjara dan disebat mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.