Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes buli dan dera melibatkan pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi baru-baru ini.
Memetik laporan Malaysiakini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kes tersebut dan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Foto: Harian Metro
“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes itu,” katanya.
Semalam, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademik Latihan Tentera (ALK), UPNM yang disyaki dibuli dan didera menggunakan seterika.
Menurut Markas ATM, dada pegawai kadet berkenaan dipercayai ditekap menggunakan seterika hingga meninggalkan kesan lecur.
Foto: X @13Mr_Mayhem
Jelasnya, kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK-UPNM.
“ATM menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” jelas Markas ATM pada Rabu.
Foto: Facebook Angkatan Tentera Malaysia
Sehubungan itu, ATM turut menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara tersebut secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Selain itu, masyarakat juga diseru tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan.
Foto: Carian Google
Terdahulu, negara dikejutkan dengan kes buli yang kejam hingga membawa kematian tragis terhadap pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang turut diseksa menggunakan seterika wap pada hampir keseluruhan badannya.
Susulan kes pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
Sumber: Malaysiakini