Pertandingan eFootball kini menjadi tumpuan dalam Esports Hari Sukan Negara (HSN) 2024 yang berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Presint 3, di sini mulai 11 hingga 13 Oktober 2024.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Abd Aziz Abdul Rahman berkata,penganjuran ini adalah sejajar dengan pertumbuhan pesat sukane elektronik (Esport) di seluruh dunia.
Langkah ini bagi memperkasakan generasi muda secara khususnya yang dilihat semakin cenderung dengan sukan elektronik.
“ Pada tahun sebelumnya Efootball dipertandingkan secara kategori terbuka, dan pada edisi 2024 kita membuat pertandingan antara negeri negeri di Malaysia.
“ Pasukan ini dibawah pengurusan persatuan esport negeri negeri yang menghantar pasukan masing masing. Setiap pasukan diwakili oleh lima pemain yang terpilih melalui pertandingan pertandingan efootball yang dianjurkan diperingkat negeri,”jelas beliau.
Pertandingan eFootball Jadi Tumpuan
Selain itu, kejohanan yang memasuki kali ke-3 pada edisi 2024 ini melibatan penyertaan 15 negeri dan Wilayah Persekutuan ini juga menampilkan pelbagai pertandingan permainan popular.
Antaranya adalah PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, Free Fire dan Tekken bagi menarik golongan belia yang berminat dalam esports.
Difahamkan, pertandingan Tekkan Konami dipertandingkan secara terbuka yang disertai oleh 64 peserta daripada dalam dan luar negara.
“Hampir 20 peserta daripada luar negara bakal berentap merebut gelaran juara. Antaranya peserta daripada Pakistan, Thailand, Indonesia, Korea, United Kingdom dan Singapura.
“Peserta termuda adalah daripada Malaysia berusia 9 tahun,”ujarnya lagi.
Kesemua pemain kini berentap bagi merebut peluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM70,000 bagi Kejohanan ESports di HSN pada tahun ini.
Pada tahun ini, terdapat kelainan yang dibawa iaitu segmen Mari Mencuba Sukan Rekreasi, pertandingan cosplay, permainan VR, booth jualan dan pelbagai lagi aktiviti menarik untuk para pengunjung.
Pupuk semangat ukhuwah menerusi esukan
Seperti sedia maklum, penganjuran HSN 2024 ini bertujuan memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
Bukan itu sahaja, ia juga bagi meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi, seterusnya mempergiatkan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.
Artikel lain: Beri Pendedahan, KBS Rancang Hantar Atlet Pelapis Ke Lebih Banyak Kejohanan Antarabangsa
Malah, memperkukuhkan semangat ukhuwah dan integrasi nasional menerusi aktiviti sukan dan rekreasi dan menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan sektor industri sukan dan rekreasi.
Bertemakan “Cergas Bersama”, sambutan HSN 2024 dilaksanakan di seluruh negara pada 11 hingga 13 Oktober 2024 dengan sasaran penyertaan seramai 4.5 juta orang tanpa mengira latar belakang individu.
Kejohanan Esports HSN 2024 ini dibawah anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Jabatan Belia & Sukan Negara (JBSN) dan Rakan Muda, manakala MESF bersama Esports Putrajaya sebagai Rakan Pelaksana kejohanan kali ini.