Restoran milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) masih beroperasi di United Kingdom walaupun kebanyakan perniagaannya telah ditutup di Malaysia.
Foto: Facebook GISB HOLDINGS SDN BHD
Menurut laporan TheStar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Zakri Jaafar ke United Kingdom menyatakan beberapa restoran milik syarikat yang sedang berdepan kontroversi itu masih menjalankan perniagaan seperti biasa.
Namun begitu, beliau tidak dapat mengenal pasti maklumat berkenaan jumlah sebenar perniagaan milik GISB di sana.
“Ya, (kami sedar) tetapi kami tidak memantau mereka… nampaknya mereka menjalankan perniagaan yang sah di sini,” katanya.
GISB Holdings mempunyai restoran di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah.
Foto: Facebook GISB HOLDINGS SDN BHD
Zakri turut menjawab saiz restoran milik GISB di London adalah sama seperti saiz restoran lain yang terdapat di sana dan beliau sendiri juga pernah berkunjung salah satu restoran tersebut di Manchester.
Sejak dua minggu lalu, banyak perniagaan GISB di seluruh Malaysia telah diserbu dan ditutup selepas timbul dakwaan penderaan seksual dan eksploitasi ke atas kanak-kanak di rumah kebajikannya.
Pihak polis melancarkan Ops Global, menyaksikan serbuan ke 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang terkait dengan GISB pada 11 September lalu.
Perniagaan yang meluas di 20 negara di Asia, Eropah, Timur Tengah dan Australia itu memperoleh pendapatan tahunan kumpulan sebanyak RM187 juta.
Syarikat tersebut juga dikatakan mempunyai jumlah aset sebanyak RM325 juta dan rangkaian 415 cawangan seluruh dunia.
Sumber: TheStar (Rahimy Rahim)