Bintang berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memaklumkan Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
Menerusi laporan Bernama, atlet berusia 36 tahun itu berkata, perkara tersebut diputuskannya selepas berjanji kepada keluarga untuk tidak meneruskan pelumbaan pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Foto: Facebook Azizulhasni Awang
“Walaupun akan berusia 40 tahun, jika menjaga badan dengan baik, saya tahu pelan tindakan, apa yang perlu dilakukan, memang susah, tapi saya boleh lakukannya.
“Tapi selepas pembedahan jantung, ibu, isteri, dan anak-anak saya memaksa saya untuk bersara dan saya sudah berjanji Paris adalah Sukan Olimpik terakhir saya“ katanya.
Beliau juga berkata, dirinya perlu berehat selepas menghadapi tekanan dan cabaran dalam sukan tersebut selama hampir dua dekad dan ingin menyerahkan baton kepada generasi seterusnya.
Foto: Facebook Azizulhasni Awang
“Setakat ini saya belum ada pelan lengkap. Saya ada banyak perancangan tapi saya cuma mahu berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan relaks dahulu,” ujarnya.
Azizulhasni turut memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia selepas tidak dapat meneruskan saingan di Paris 2024 pada acara keirin akibat kesalahan melintas pacer sekali gus gagal meraih pingat emas.
“Rakyat Malaysia memang sedih, kecewa, ada yang mungkin marah, saya faham tapi bayangkan saya. tentang diri saya. Jika rakyat Malaysia mahukan emas, bayangkan saya, saya mahukannya mungkin seribu, sejuta kali ganda.
Foto: Facebook Azizulhasni Awang
“Saya yang bekerja keras, mewakili Malaysia selama bertahun-tahun, bekerja keras untuk melayakkan diri dan persiapan semua dengan kesukaran yang kami lalui. Tetapi ini adalah sebahagian daripada sukan,” jelas beliau.
Azizulhasni pernah memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017 selain menjadi atlet negara pertama memenangi pingat di Sukan Olimpik dalam sukan berbasikal, iaitu gangsa keirin di Rio 2016 dan merangkul perak di Tokyo 2020.
Sumber: Bernama (Vikneswaran Raman)