Bintang skateboard Amerika Syarikat (AS), Nyjah Huston mengkritik kualiti pingat Olimpik Paris 2024 selepas gangsa yang dimenanginya mula kelihatan luntur.
Menerusi laporan The Telegraph, atlet lelaki berusia 29 tahun itu mendakwa keadaan pingatnya yang sangat berbeza hanya seminggu selepas dimenanginya di Paris.
Foto: bleacherreport.com
“Jadi pingat Olimpik ini kelihatan hebat apabila ia baru.
“Tetapi selepas membiarkannya melekat pada kulit saya dengan sedikit peluh dan membiarkan rakan saya memakainya pada hujung minggu…,” katanya sebelum menunjukkan keadaan pingat tersebut.
Huston juga memberitahu bahawa bahagian belakang pingat itu sudah mengelupas selain warna gangsanya bertukar menjadi pudar.
Foto: Instagram Nyjah Huston
“Ia (pingat Olimpik) nampaknya tidak berkualiti tinggi seperti yang anda fikirkan. Ia kelihatan kasar.
“Saya tidak tahu, pingat Olimpik perlu ditingkatkan kualitinya sedikit, ia kelihatan seperti pergi berperang dan kembali,” ujarnya.
Huston sebelum ini telah memenangi emas sebanyak 12 kali dalam X-Games dan enam kali dalam Kejohanan Dunia selain mempunyai sembilan perak serta empat gangsa dalam kedua-dua pertandingan.
Foto: The Telegraph
Untuk makluman, setiap pingat yang dianugerahkan di Sukan Olimpik Paris terdapat ukiran Menara Eiffel sebagai mercu tanda negara itu dengan bentuk heksagon 18 gram di tengah setiap pingat.
Setiap satu mempunyai berat sekitar 530g dan direka oleh jenama mewah, Chaumet dan kelebarannya adalah 85mm tepat.
Sumber: The Telegraph