Seramai 19,179 guru sekolah rendah dan menengah dilaporkan memilih untuk bersara awal sejak 2022 hingga Mei 2025, dengan majoritinya memberi alasan tidak lagi berminat dalam profesion perguruan.
Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata data menunjukkan 5,306 guru bersara awal pada 2022, meningkat kepada 6,394 orang pada 2023, diikuti 5,082 orang pada 2024, manakala sehingga Mei 2025, seramai 2,397 turut mengambil keputusan sama.

Foto: thesun.my
“Daripada jumlah itu, 67.44 peratus menyatakan alasan tidak lagi berminat, 17.43 peratus disebabkan masalah keluarga, 7.69 peratus kerana masalah kesihatan, 5.3 peratus berpunca daripada beban kerja, manakala 2.08 peratus lain disebabkan masalah peribadi,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai jumlah pengajar yang bersara awal bagi tempoh 2022 hingga 2024 dan langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu kekurangan guru.
Artikel lain: Remaja Tular Tumbuk Guru Lelaki Mengaku Bersalah Di Mahkamah Majistret
Menurut Kah Woh, KPM komited mengatasi isu itu dengan melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula membuka sistem permohonan pengajar sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan serta penempatan tenaga pengajar baharu.
Selain itu, katanya, KPM turut melaksanakan beberapa penambahbaikan antaranya pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021 dan penyediaan dokumen Deskripsi Tugas (JD) sejak 2016 bagi memperjelaskan akauntabiliti pengajar serta mengurangkan beban tugasan mereka.
Bagi mengurangkan kerja bukan pengajaran, KPM turut melantik pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan individu bukan pengajar.

Foto: thesun.my
Namun, beliau mengakui sasaran 20 peratus belum tercapai apabila hanya 7,211 petugas sukarelawan direkodkan pada 2023 dan 2,780 orang pada 2024.
“Tahun ini, KPM memperkenalkan inisiatif baharu dengan melantik pembantu guru bertaraf MySTEP di sekolah yang mempunyai lebih 1,500 murid, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas.
“Setakat ini, seramai 564 pembantu guru ditempatkan di 282 sekolah, dengan setiap sekolah menerima dua orang pembantu.
“Langkah ini akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian (Fahmy A Rosli)
