Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menyatakan kesediaan baginda untuk bersemuka dengan penyokong Harimau Malaya bagi memberikan penjelasan terperinci berhubung kemelut yang sedang melanda bola sepak negara.
Reaksi itu diberikan susulan hantaran seorang pengguna di platform X yang menuntut penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman gantung beraksi selama 12 bulan terhadap tujuh pemain serta denda kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Bila-bila masa, di mana sahaja. Masa dan tempat, mereka atau anda pilih. Lelaki sejati tidak lari. Tetapi kebanyakan bukan kisah apa yang betul dan benar.
“Mereka lebih berminat mahu menghapuskan pengaruh saya dalam industri bola sepak tempatan, itu sahaja,’ titah baginda menerusi satu hantaran di X.
TMJ Sedia Bersemuka
Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), menerima pelawaan tersebut dan menyerahkan kepada penyokong untuk menetapkan masa serta lokasi perjumpaan.
Keputusan CAS sebelum ini menyaksikan hukuman penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain, termasuk Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero, selepas didapati bersalah memalsukan dokumen kelayakan.
Artikel lain: Tujuh Pemain Warisan Digantung 12 Bulan, CAS Kekalkan Denda Terhadap FAM
Badan timbang tara antarabangsa itu turut menyifatkan larangan beraksi dalam perlawanan rasmi selama 12 bulan sebagai satu hukuman yang munasabah.
Bagaimanapun, penggantungan tersebut hanya tertakluk kepada perlawanan rasmi dan pemain terbabit tidak dihalang daripada menyertai aktiviti lain berkaitan bola sepak.
Keputusan itu mencetuskan pelbagai polemik dan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, yang rata-ratanya menuntut penjelasan jelas dan telus berhubung isu berkenaan.
Sumber: X HRHJohorII










































