Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menempelak pihak yang mempertikai kelulusan bersyarat diberikan kepada tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan sebagai pusat pemeriksaan kenderaan (PPKM).
Memetik laporan Astro Awani, syarikat yang dipilih bukan ‘syarikat RM2’, sebaliknya mempunyai keupayaan modal yang mencukup untuk melengkapkan keperluan infrastruktur berdasarkan kriteria ditetapkan kerajaan.
Syarikat alternatif PUSPAKOM dipertikai, Anthony Loke tempelak
“Memang betul orang cakap lapan bulan, yang betul adalah dia syarikat SPV (syarikat bertujuan khas), ditubuhkan untuk membolehkan syarikat berkenaan memohon perkhidmatan sebagai pusat pemeriksaan kenderaan motor.
“Tetapi syarikat yang dikatakan lapan bulan ini, dia ada perniagaan lain, bukan syarikat baharu. Bukan syarikat RM2…(tapi) syarikat yang ada (modal) RM20 juta…ada modal yang cukup.
“Syarikat ini juga milik penuh Bumiputera, ketiga-tiga pengarah adalah Bumiputera. Jadi kita kena yakinlah dengan syarikat-syarikat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kriteria teknikal yang ditetapkan sehingga membolehkan tiga syarikat yang tiada pengalaman dipilih.
Artikel lain: Tangani Masalah Tanah Terhad, DBKL Cadang Bina Sekolah Konsep Menegak
Dalam pada itu, Anthony juga menjelaskan aspek paling penting adalah pemeriksa kenderaan mesti mempunyai tauliah yang hasil penilaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apabila syarikat sudah siapkan semua kelengkapan, perlu ada pemeriksa kenderaan yang bertauliah yang perlu dilantik.
“Macam mana bertauliah? Dia ambil orang bekerja, mesti pergi kursus dulu, yang ditetapkan penilaian oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terhadap tenaga kerja tersebut.
“Bila bertauliah, baru boleh jalankan fungsi pemeriksaan kenderaan. Jadi proses ini agak panjang dan teliti.
“Ia juga dibuat secara terbuka. Tak ada sorok-sorok…kalau nak sorok, saya tak perlu umum nama syarikat-syarikat ini,” ujarnya.
Syarikat alternatif PUSPAKOM dipertikai bukan ‘syarikat RM2’
Tambahnya, antara syarat utama perlu dipenuhi oleh syarikat yang menyertai proses tawaran adalah memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta speanjang tempoh perkhidmatan dan mempunyai modal pusingan minimun RM5 juta setahun.
Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memiliki speenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sendirian Berhad (Sdn Bhd) atau Berhad (Bhd).
Menurut Loke, syarikat itu juga diwajibkan memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran dan menyediakan wang deposit atau bon minimum lima peratus daripada nilai modal pusingan.
“Selain itu, syarikat juga perlu memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan serta berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan,” katanya.
Sumber: Astro Awani (Umavathi Ramayah)
