Kempen kesedaran mengenai pengurangan gula perlu dipertingkatkan dengan menyediakan pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat di premis-premis kerajaan, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Menurut beliau, sebagai langkah mendidik masyarakat, minuman bergula perlu dikurangkan di semua hospital dan jamuan rasmi kerajaan.
Bagaimana Seruan Hidup Sihat Mahu Berjaya?
Langkah ini bukan sahaja menunjukkan kepimpinan melalui teladan, malah mampu mengubah tabiat orang kerajaan yang kerap menyajikan hidangan tinggi gula.
“Kerap kali ketika menghadiri mesyuarat kementerian, jabatan atau agensi kerajaan mahupun keraian, semestinya akan ada hidangan air manis pelbagai rasa seperti teh tarik, kopi tarik dan air Nescafe.
“Tidak ketinggalan juga hidangan kuih-muih yang beraneka jenis dan penuh dengan kemanisan serta tinggi minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lam Thye menegaskan bahawa dengan memulakan langkah mengurangkan gula dalam minuman yang disajikan di premis kerajaan, ia bakal menjadi contoh baik buat institusi swasta, sekali gus memperlihatkan komitmen negara terhadap gaya hidup dan pemakanan sihat.
Beliau menambah, kerajaan juga boleh menetapkan syarat kepada penghidang makanan untuk tidak menyajikan minuman terlalu manis semasa mesyuarat atau program rasmi, sekali gus mengurangkan pengambilan gula dengan serta-merta.
“Seruan hidup sihat ini adalah relevan memandangkan gaya hidup di negara kita yang semakin dihujani dengan pelbagai makanan dan minuman tular yang tinggi gula.
“Jika kempen ini tidak dimulakan dengan segera, nescaya kita bakal menghadapi masalah negara yang tidak sihat pada masa depan,” katanya.
Artikel lain:
Selain itu, Lam Thye menegaskan bahawa seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan gula dalam kehidupan seharian harus disambut serius oleh semua pihak, memandangkan Malaysia mencatat kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.
Tegasnya, lebihan gula boleh membawa kepada penyakit serius seperti obesiti, diabetes dan masalah metabolik lain, yang jika tidak dibendung, bakal menjejaskan institusi kesihatan negara pada masa hadapan.
Sumber: BH Online (Ilah Hafiz Aziz)










































