Gangguan bekalan air yang berlaku di Iskandar Puteri mengakibatkan sebanyak 155,074 akaun pengguna air bakal menerima rebat 15 peratus bagi bil air bulan ini melibatkan kategori domestik dan bukan domestik.
Pengguna gangguan air terima rebat 15 peratus

Foto: Berita Harian
Memetik laporan MalaysiaGazette, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan insentif itu akan diberikan megikut beberapa kategori antaranya kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.
“Rundingan bersama pihak Ranhill SAJ telah diadakan bagi mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab.
“Saya sedar dan insaf bahawa bantuan rebat 15 peratus ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan.
“Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas,” kata Onn Hafiz di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Terdahulu, isu gangguan air ini telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya ADUN Benut, Kukup, Pemanis, Sri Medan, Panti, Kahang, Tiram, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Johor Jaya, Kemelah, Sungai Balang, Bukit Naning dan Skudai.
ADUN Machap itu turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor yang terkesan selama empat hari akibat ketiadaan air dan memandang serius isu terbabit.

Foto: CNA
“Rakyat terpaksa bersusah payah selama empat hari tanpa bekalan air yang mencukupi.
“Saya faham, ini bukan satu isu yang kecil, lebih-lebih lagi apabila ia mengganggu kehidupan seharian keluarga, pengoperasian sekolah, hospital dan premis perniagaan,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu kerajaan negeri telah mengarahkan RSAJ untuk membaik pulih kerosakan pada pam air dan menggerakkan segala jentera serta tenaga kerja bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Sebanyak 42 lori tangki air, 51 tangki statik, dan 13,000 karton air mineral telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas sepanjang tempoh tersebut.
“Sebuah taskforce juga telah ditubuhkan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Foto: Berita Harian
Artikel lain: Bekalan Air Johor Bahru Pulih Sepenuhnya Lewat Malam Ini, Enam Pam Rosak Telah Dibaiki
Terdahulu, Hampir 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas ekoran kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor pada Rabu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.
Untuk rekod, gangguan air yang terjadi telah mengakibatkan 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna di kawasan terbabit.
Sumber: MalaysiaGazette (Zulhisham Isahak)
