Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn. Bhd. bagi mengintegrasikan identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.
Perkukuh transformasi digital myPTPTN
PTPTN dan My Digital ID dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuh kecekapan sistem serta meningkatkan pengalaman pengguna dalam mengakses pelbagai perkhidmatan PTPTN secara dalam talian.

Pertukaran MoU antara Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Norliza (tengah).
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, kerjasama ini merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendigitalan PTPTN, selaras dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021–2025, iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui transformasi digital.
“Sehingga 15 Oktober 2025, lebih 2.8 juta pengguna telah menggunakan aplikasi myPTPTN bagi pelbagai urusan termasuk permohonan pinjaman, semakan baki, pembayaran balik serta pembukaan dan penambahan deposit akaun Simpan SSPN.
“Dengan kemajuan ini, kami yakin PTPTN akan terus menjadi organisasi yang lebih efisien dan mesra pelanggan. Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana mereka boleh berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari mana-mana lokasi,” katanya.
Majlis menandatangani MoU tersebut dijayakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn. Bhd., Nik Hisham Nik Ibrahim sambil disaksikan oleh Norliza di berlangsung di Menara PTPTN, Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis menandatangani MoU dimeterai oleh Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Norliza Abdul Rahim (tengah).
Sementara itu, Nik Hisham menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan melalui Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital dalam sektor pendidikan.
“Usaha seperti ini meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan inovasi dalam ekosistem pendidikan negara serta membantu mempercepatkan kemajuan ekonomi digital Malaysia,” ujarnya.
MoU ini menandakan komitmen berterusan PTPTN untuk menjadi organisasi digital progresif dan mesra pelanggan, sejajar dengan aspirasi kerajaan ke arah pendigitalan perkhidmatan awam serta pembangunan ekonomi digital negara.
Artikel lain: PTPTN Perkukuh Program Anak Emas, Lonjak Budaya Menabung Demi Pendidikan Generasi Baharu
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn. Bhd., Ir. Ts. Azrin Aris selain pengurusan kanan kedua-dua organisasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi myPTPTN, orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi myPTPTN bagi mendapatkan notifikasi serta perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa, di mana sahaja.
