Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan oleh polis hari ini bagi siasatan berhubung dakwaan menghina Islam di media sosial.
Menurut laporan BH Online, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penuntut tersebut ditahan pada awal pagi ini.
“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sejak semalam, tular di media sosial gambar seorang lelaki dewasa memijak al-Quran, bersama tangkap layar hantaran didakwa milik penuntut UMPSA.
Selain itu, tersebar juga gambar lelaki terbabit berserta tangkap layar komen yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Yahaya berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap penuntut itu hari ini.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain, termasuk kandungan jelik.
Hukuman bagi kesalahan ini boleh mencapai penjara setahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, seorang pengguna Threads, @avgeekmy menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan penuntut berkenaan yang disyaki bertindak keterlaluan dalam menghina agama Islam.
Sumber: BH Online (Fazli Ahmad)







































