Baru-baru ini tular di media sosial, seorang pemuda dikenali sebagai Azim Indra, 19, sanggup membelanjakan wang simpanannya bagi membantu seorang wanita warga emas menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.
Bukan untuk menunjuk
Biarpun tanpa pertalian darah siapa sangka pertemuan di lampu isyarat sewaktu menjual donat membuat Azim terdetik mahu membawa wanita yang dikenali sebagai Umi itu ke Mekah.
Menerusi perkongsian terkini Azim di TikTok, dia mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan dan meluahkan rasa terharu melihat kata-kata positif yang diberikan warganet di media sosial.
@azimindraa Doakan saya & keluarga
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih atas segala ribuan doa buat saya dan juga umi . Saya baca satu persatu doa kalian, saya sangat hargai.
“Agak segan & terkejut bila terima banyak reaksi yang positif, Mudah-mudahan disetiap apa yang dikongsi terdapat ibrah disebaliknya,” tulis Azim, semalam.
Penuntut semester tiga pengajian Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan itu turut mengakui bahawa dirinya banyak kekurangan dan percaya setiap harta yang dimiliki hanya sekadar pinjaman daripada sang pencipta.
“Sesungguhnya saya insan banyak kekurangan & memerlukan lebih banyak sokongan doa yang ikhlas dari orang ramai.
“Apa jua harta yang saya korbankan, semuanya milik Allah SWT. Saya hanyalah perantara yang dipinjamkan sedikit kemampuan untuk membantu,” jelasnya.
Sehubungan itu, dia menjelaskan tujuannya memut naik video yang tular sebelum ini bukan berniat untuk menunjuk melainkan mahu memberi kesedaran kepada orang ramai untuk sentiasa cakna dengan nasib warga emas dan ingin menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan.
“Fokus utama saya posting video tersebut bukan untuk menunjuk siapa diri saya dan juga bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi adalah untuk berkongsi keadaan seorang wanita tua ini yang sepatutnya diberi perhatian.
“Saya harap dengan kuasa viral yang ada kita boleh saling membantu dan tidak pernah lokek untuk berbuat baik. Semoga akan ada jalan untuk setiap niat baik yang kita selalu usahakan. Semoga kita semua dapat bertemu di Syurga Allah kelak,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Putri Qisya Terima Tajaan Umrah, Sumbangan Pendidikan RM500 Setiap Bulan
Difahamkan, Azim bukan sahaja membawa Umi mengerjakan umrah malah menguruskan segala urusan termasuklah berkaitan pasport dan turut membelikan kelengkapan umrah setelah melihat keadaannya yang serba kekurangan.
Sumber: TikTok azimindra







































