Seorang pekerja pemasaran sebuah bengkel kenderaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, dalam satu kemalangan pada 18 Januari lalu.
Pandu melulu sebabkan tiga beranak maut
Menurut laporan Kosmo! Online, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Foto: Kosmo! Online
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Proton S70 dengan cara melulu sehingga melanggar sebuah Perodua Viva di Jalan Kulim-Mahang kira-kira pukul 5 petang pada tarikh tersebut.
Kemalangan itu meragut nyawa Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, bersama dua anaknya iaitu Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Foto: Media sosial

Foto: Media sosial
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 sekiranya sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana Mohamad Aqlan hanya berpendapatan RM3,000 sebulan, menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia dua tahun.
Artikel lain: Tercampak 40 Meter, Petinju Muay Thai Maut Dirempuh Ketika Berjoging
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan untuk serahan dokumen.
Lesen memandu tertuduh digantung sementara dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Terdahulu, media melaporkan tiga beranak terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian kereta Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan sekali gus memasuki laluan bertentangan.

Foto: Media sosial

Foto: Utusan
Difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Syazwan bersama dua anak kecil dalam perjalanan menjemput isterinya, Nor Hamiza Halid, 25, di tempat kerja di Sungai Ular.
Sumber: Kosmo! Online (Azahar Hashim)







































