Suasana di Mahkamah Majistret Klang bertukar hiba apabila isteri mangsa kemalangan maut tampil menuntut keadilan atas kehilangan suaminya dalam insiden tragis yang mengorbankan seorang penunggang motosikal.
“Mana pembunuh suami saya, nyawa balas nyawa,” ujarnya dalam keadaaan sebak.
Mahu keadilan buat suami
Memetik laporan daripada Sinar harian, luahan itu datang daripada Nor Nadia Abdul Majid, isteri kepada Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pemandu dipercayai mabuk dan di bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.
Nor Nadia hadir ke mahkamah sekitar jam 9.53 pagi Rabu bersama peguamnya, Mohd Faizi Che Abu bagi mengikuti prosiding kes tersebut.
Ibu kepada tiga anak kecil itu dilihat memakai jubah hitam, dengan wajah sugul dan menahan sebak ketika melangkah masuk ke dalam mahkamah.
Turut hadir memberi sokongan ialah Rafidah Ibrahim dan Albert Tei Jiann Cheing.
Suspek didakwa hari ini
Sementara itu, suspek lelaki berusia 20-an yang dikaitkan dengan kejadian itu tiba lebih awal sekitar jam 8.53 pagi dengan diiringi polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey, suspek akan didakwa atas pertuduhan berkaitan insiden berkenaan.
Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku pada Ahad sekitar jam 11.40 pagi apabila kereta dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum merempuh motosikal mangsa dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Susulan insiden tersebut, suspek telah ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian






































