Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar berkongsi amalan harian ayahnya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud setiap hari sebelum tarikh perbicaraan di mahkamah.
Mohamad Nizar berkata, Najib menunaikan solat tersebut pada jam 5.30 pagi setiap hari sebagai ikhtiar memohon keadilan daripada Allah SWT.

Foto: Astro Awani
“Ayahanda Najib Razak berkata kepada saya, beliau tidak pernah putus solat tahajud sebelum tarikh bicara. Akhirnya, Allah SWT menjawab doa hamba-Nya yang teraniaya,” tulisnya di Facebook pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara (AG) untuk menyekat permohonan semakan kehakiman yang membolehkan Najib mendapatkan perintah tahanan rumah.
Artikel lain: Najib Gagal Gugurkan Tiga Tuduhan Pengubahan Wang Haram SRC Berjumlah RM27 Juta
Menurutnya, panel hakim turut bersetuju menerima salinan Titah Adendum yang disahkan oleh Istana Pahang sebagai bukti di mahkamah.
“Kewujudan dokumen yang menitahkan perintah tahanan rumah tidak boleh dipertikaikan, malah diakui sendiri oleh Peguam Negara. Terima kasih tidak terhingga kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang. Mereka memberi komitmen agar perbicaraan di Mahkamah Tinggi dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Foto: Carian Google
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Tan Sri Hasnah bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman.
Prosiding itu bertujuan memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu. Susulan keputusan tersebut, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Sumber: Facebook @Nizar Najib NN11
