Pertubuhuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menasihatkan agar Malaysian Chinese Association (MCA) perlu melihat semula masalah yang berlaku menyebabkan sokongan kaum Cina terhadap parti itu semakin merosot.
UMNO simpati MCA merosot
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, MCA tidak boleh meletakkan Barisan Nasional (BN) sebagai punca atas kekecewaan ahli-ahli parti itu berhubung kedudukan mereka dalam gabungan parti politik tersebut.
Beliau memberi pandangan bahawa pemimpin MCA perlu membuat refleksi diri melihat kelompangan yang sedia ada berkenaan sokongan kaum Cina yang dilihat semakin berkurangan setelah hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
“Kita bersimpati dengan MCA tetapi MCA jangan salahkan BN. MCA kena tanya diri sendiri kenapa sokongan kaum Cina kepada parti itu merosot. Kenapa di PRU ke 15 hanya menang dua kerusi sahaja.
“Tiada kaitan terhadap BN, ketika itu BN bertanding solo. Kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas PRU ke 15,” tulis Puad di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau menafikan segala dakwaan dibuat oleh Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhou Li yang menganggap kerjasama BN-PH hanyalah memusnahkan masa depan dan hala tuju UMNO.
“Dakwaan Zhou Li amatlah dangkal. Dia kata kerjasama BN-PH menjejaskan masa depan UMNO tetapi parti ini terjejas teruk bila BN kalah di PRU 14 namun UMNO tidak salahkan BN.
“UMNO bangkit semula jadi untuk tuduh UMNO merosot lihatlah tiga PRK di Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning. Sebab itu MCA perlu tabah,” ujarnya.
Ahli politik itu berharap agar MCA tidak berkecil hati dalam parti gabungan yang sedia ada dan menegaskan agar terus fokus membuktikan mereka mampu menarik semula sokongan rakyat.
“MCA jangan merajuk sampai menarik diri di PRN 2023 (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan).
“MCA patut fokus kepada peranan dan jawatan yang mereka pegang. Buktikan MCA cemerlang untuk tarik semula sokongan rakyat,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Ingkar Arahan Istana, Tiada Pemimpin PN Layak Jadi PM – Puad Zarkashi
Sehubungan itu, Puad memberitahu UMNO akan terus mempertahankan BN dan MCA tetap menjadi rakan setia dalam parti gabungan ini.
Kerjasama BN-PH memainkan peranan penting dalam kelangsungan rakyat dan membentuk kerajaan yang lebih stabil.
BN juga merupakan parti yang membuktikan dan mendengar nasihat Raja-Raja Melayu untuk kekal komited dan sederhana menjadikan hala tuju menjadi lebih jelas.
Sumber: Facebook Dr Puad Zarkashi
