TYMBA Education Group dilantik secara rasmi sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan (ALTI) oleh Yayasan Peneraju di bawah Skim Pembiayaan Baharu, khusus bagi kelayakan perakaunan profesional bertaraf antarabangsa.
TYMBA dipilih sebagai ALTI Yayasan Peneraju
Pelantikan itu meletakkan TYMBA sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha memperkasa pelajar Bumiputera dalam bidang kewangan dan perakaunan, selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang tahun 2030 seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Skim Pembiayaan Baharu tersebut merangkumi kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat global seperti:
-
Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)
-
Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW)
-
Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA)
-
Chartered Institute of Management Accountants (CIMA)
-
Chartered Financial Analyst (CFA)
Ia dibuka kepada semua pelajar Bumiputera, dengan penekanan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai laluan asas seperti FIA-ACCA dan CFAB-ICAEW.
Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA, Airil Razali berkata pelantikan tersebut merupakan satu langkah penting ke arah memperluas akses kepada pendidikan perakaunan profesional dalam kalangan Bumiputera.
Artikel lain: 18 Akaun TikTok Organisasi Media Disekat, MCMC Berhubung Dengan TikTok
“Kami berbesar hati dilantik sebagai salah satu ALTI Yayasan Peneraju di bawah skim baharu ini. Ia adalah satu langkah ke hadapan dalam menjadikan pendidikan perakaunan profesional boleh diakses oleh lebih ramai Bumiputera, memperkasakan mereka dengan kemahiran dan kelayakan yang dihormati di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
TYMBA yang sebelum ini telah diiktiraf sebagai Platinum Approved Learning Partner (ALP) oleh ACCA, mempunyai rekod pencapaian cemerlang termasuk melahirkan ramai pelajar yang meraih anugerah global serta mencatat keputusan melepasi purata kadar lulus antarabangsa.
Justeru, ia akan terus memainkan peranan aktif sebagai pemangkin pembangunan bakat Bumiputera dalam sektor kewangan dan perakaunan, sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan daya saing dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan permohonan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.tymbaedu.com atau menghubungi TYMBA secara langsung.
