Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mengusulkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menangani isu pencerobohan tanah secara haram di Pahang yang dilihat berlarutan terlalu lama.
Memetik laporan dari Harian Metro, beliau mengatakan jawatankuasa itu penting bagi mencadangkan penyelesaian yang adil dan menyeluruh, sama ada melibatkan penduduk tempatan mahupun luar negeri.
Jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bincang isu tersebut
Malah, beliau mencadangkan supaya keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pakar tanah dari institusi pengajian tinggi, ulama, pihak polis, peguam dan lain-lain.
“Jawatankuasa ini diberi tiga bulan untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan. Pencerobohan perlu dinoktahkan dan tanah yang diceroboh tidak boleh terlalu lama dibiarkan,” katanya.
Usul jawatankuasa khas boleh dilakukan selaras titah Sultan Pahang
Sementara itu, ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyuarakan sokongan terhadap titah Sultan Pahang dan mencadangkan kerajaan negeri memperkasakan teknologi pemantauan seperti penggunaan dron bagi mengukuhkan penguatkuasaan.
“Saya menyokong penuh titah Sultan Pahang dan tindakan yang diambil (pencerobohan tanah) dan turut dukacita dalam kes ini ada pihak yang membela mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.
Artikel lain: Individu Kecewa Layanan ‘Double Standard’ Berkaitan Isu Tanah
Untuk rekod, pada 8 April lalu, kerajaan negeri telah memulakan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di Raub, melibatkan kawasan seluas lebih 202 hektar. Bagaimanapun, tindakan itu tidak disenangi oleh pekebun durian tanpa permit yang mengadakan protes terbuka.
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah turut memberi peringatan bahawa menyokong pencerobohan tanah secara haram sebagai bentuk “perjuangan” adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
Sumber: Harian Metro (TN Alagesh)
