Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Vorapak Tanyawong meletak jawatan pada Rabu susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan operasi pusat penipuan di Thailand dan Kemboja.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Vorapak berkata, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul mengenai hasratnya untuk berundur, dan keputusan itu diterima dengan hormat.
Timbalan Menteri Kewangan Thailand Letak Jawatan
Menurutnya, tindakan tersebut dibuat semata-mata bagi melindungi integriti kerajaan serta memastikan operasinya tidak terjejas oleh dakwaan berkenaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak pernah terlibat dengan sebarang skim penipuan atau perniagaan haram, sama ada di Kemboja atau di mana-mana bahagian dunia.
“Tuduhan yang mengaitkan saya dengan operasi penipuan adalah sama sekali tidak berasas.
“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu kerana saya tidak pernah terlibat. Oleh itu, saya akan membiarkan sistem kehakiman menyiasat fakta sebenar. Saya tidak menyokong atau melindungi sesiapa yang melanggar undang-undang,” katanya.
Artikel lain: Anwar Jemput Perdana Menteri Thailand Baharu Buat Kunjungan Ke Malaysia
Beliau mendakwa terdapat individu tertentu yang menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkan namanya kepada rangkaian penipuan bagi mencemarkan reputasinya, dan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.
Pada Selasa, media tempatan melaporkan bahawa Perdana Menteri Anutin telah meminta Vorapak mengemukakan penjelasan bertulis berhubung dakwaan kaitannya dengan rangkaian penipuan di Asia Tenggara.
Sumber: FB Vorapak Tanyawong
