Suasana sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang bertukar kecoh apabila tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang meluru masuk dan menyamun premis tersebut dalam satu kejadian mengejutkan pada pagi Isnin.
Tiga lelaki bertopeng bertindak agresif
Memetik laporan daripada Sinar Harian, salah seorang daripada mereka dikatakan turut bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita yang berada di lokasi kejadian, di hadapan kanak-kanak yang masih kecil dan belum memahami bahaya yang sedang berlaku.
Tiga lelaki berrtopeng naiki Perodua Bezza ketika samun
Difahamkan, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.35 pagi ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu ketibaan anak-anak murid ke taska terbabit.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang tenaga pengajar yang memaklumkan premis mereka disamun oleh tiga lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
“Ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam premis dan melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit milik dua guru terbabit.
“Polis menerima maklumat, salah seorang suspek bersenjatakan parang bertindak agresif dengan menampar guru wanita terbabit sebanyak dua kali di bahagian pipi kiri dan kanan,” katanya.
Artikel lain: Bayar Makan Guna Resit Palsu, Juruaudit Antara Dua Lelaki Dicekup
Tiada kanak-kanak alami kecederaan
Menurut beliau lagi, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku terdapat dua guru, seorang pembantu dapur dan 10 orang kanak-kanak berada dalam premis berkenaan.
“Bagaimanapun tiada kanak-kanak cedera, namun dua guru taska mengalami kerugian selepas barangan kemas dan telefon bimbit jenama Realme dilarikan suspek,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda dan sebatan,” katanya.
Usaha mengesan ketiga-tiga suspek kini sedang giat dijalankan pihak polis. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Sumber: Sinar Harian (Mohd Izzatul Izuan Tah)