Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan buli atau penderaan dalam kalangan pelajar.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad berkata, pihak universiti komited memastikan budaya hormat dan tanggungjawab diterapkan dalam kalangan mahasiswa sejak hari pertama mereka menuntut di kampus.
“Tidak ada ruang untuk buli dan dera di UPNM. Jika ditangkap, out you go,” katanya.
Tiada Ruang Untuk Buli Dan Dera Di UPNM
Beliau menegaskan, prinsip tersebut turut seiring dengan pengalaman beliau yang dibesarkan dalam budaya ketenteraan sejak menuntut di Maktab Tentera Diraja.
“Dalam Angkatan Tentera Malaysia pun, saya dilahirkan daripada Maktab Tentera Diraja sejak tingkatan satu. Tidak ada istilah buli dan dera.
“Kaedah pembelajaran itu kena ikhlas untuk mengajarkan kita dihormati. Kita tidak membenarkan follow orders with fierce, kita kena follow orders with respect,” ujarnya.
Arman Rumaizi berkata, beliau mahu setiap arahan atau tugas dilaksanakan atas dasar tanggungjawab, bukan ketakutan.
“Saya tidak mahu orang melaksanakan tugas yang saya arahkan atas dasar ketakutan. Tapi tugas dan arahan itu dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan respect. Ini dua benda.
“Insya-Allah saya akan jadikan ini budaya kita dan saya harap adik-adik jangan risau kerana saya sendiri telah memberitahu semua sekali, tidak ada ruang untuk melaksanakan buli atau dera,” katanya.
Artikel lain: ‘Spot Check’ Mengejut Lebih Berkesan Atasi Buli Di UPNM – Bekas Ketua Perisikan Tentera Darat
Beliau turut memberi amaran kepada pelajar yang cuba menunjuk lagak atau bersikap ‘gedebe’ di kampus.
“Kamu tahun satu, dia tahun satu, kamu nak buli-buli. Sekali dapat, tiada kompromi. How do you go?
“Tuntut ilmu, bina diri, bina karakter dengan kaedah-kaedah yang terbaik. Bukan penderaan dan buli. Tidak ada tempat,” tegasnya.
Sumber: FB Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
