Seorang Pegawai Penyiasat Kanan memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa objek asing yang ditemui dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matin, dikenal pasti sebagai daun pokok pulai.
Menurut laporan Kosmo, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, berkata penemuan itu berdasarkan hasil bedah siasat dan analisis yang dijalankan oleh ahli kimia terhadap objek tersebut.
“Saya telah terima laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus si mati yang telah dihantar untuk analisa adalah sejenis tumbuhan daun jenis pulai.
“Berdasarkan maklumat saya telah jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai berhampiran anggaran 10 meter dari tempat si mati ditemui,” kata saksi itu dalam pernyataan saksinya yang mengatakan laporan ahli kimia itu diperoleh pada 12 Disember 2023.

Foto: Kosmo
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing dijumpai dalam dubur Zayn Rayyan, sebaliknya hanya DNA milik kanak-kanak itu sahaja dikesan.
Mengulas hasil bedah siasat, Mohd. Hafizee menyatakan terdapat beberap kecederaan pada tubuh mangsa yang dipercayai mempunyai unsur jenayah, sebagaimana dimaklumkan oleh Perunding Perubatan Forensik, Dr. Rohayu Shahar Adnan, yang melakukan bedah siasat pada 7 Disember 2023.
“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, saya dapati keadaan si mati (Zayn Rayyan) telah dibuka separuh badan dan saya ada bertanyakan kepada doktor bedah iaitu Doktor Rohayu tentang kecederaan yang dikatakan mempunyai unsur jenayah. Doktor Rohayu telah tunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri si mati dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan si mati terdapat kesan toreh dan dubur si mati seperti terdapat kesan tusukan objek,” katanya.
Dr. Rohayu dalam keterangannya sebelum ini turut menyatakan bahawa benda asing ditemui dalam bronkus sebelah kanan dan perut mangsa iaitu lelangit mulut yang lebam menunjukkan kemungkinan objek tersebut dimasukkan secara paksa.
Namun begitu, kematian mangsa bukan disebabkan oleh tercekik akibat objek berkenaan.
Berikutan penemuan elemen jenayah dalam bedah siasat, Mohd. Hafizee memaklumkan bahawa beliau membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah.
“Pada pukul 10.30 malam (7 Disember 2023) saya bersama pasukan bergerak menuju ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan telah pergi ke rumah si mati iaitu di Blok R bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 IPK Selangor dan telah menjalankan siasatan di dalam rumah tersebut.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya telah terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut tersebut untuk siasatan saya,” kata saksi itu lagi.

Foto: malaysiagazette
Menurut beliau, hasil siasatan membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan dan Ismanira pada 31 Mei 2024 iaitu pada 10 Jun, tertuduh Ismanira dibawa keluar dari lokap bagi menjalani proses lakonan semula kejadian.
“Proses (lakonan semula) bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Saya arahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula tersebut. Rakaman tersebut telah disalin ke dalam pendrive dan telah diserahkan kepada saya.
“Pada 12 Jun 2024 tertuduh Ismanira telah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya yang kemudian pada 13 Jun 2024 saya telah menerima arahan untuk tertuduh pertama iaitu Zaim Ikhwan bin Zahari dan tertuduh kedua iaitu Ismanira binti Abdul Manaf dituduh dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dan dibaca bersama-sama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” ujar saksi itu lagi.
Tertuduh kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya pada 12 Jun dan sehari selepas itu, pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar Blok R, Apartment Idaman dan kawasan sungai berhampiran.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung pada sesi petang ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Sumber: Kosmo (Nuzulsham Shamsuddin)
