Peguam berjiwa rakyat yang dikenali sebagai ‘Peguam Kotak Pensil’, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami serangan jantung tengah hari semalam.
Isteri Peguam Kotak Pensil kongsi keadaan suami
Berita itu dimaklumkan isterinya, Datin Raja Adzfa Wati Raja Adzman, menerusi siaran langsung di TikTok peguam berkenaan.
Dalam rakaman itu, Ahmad Zaharil kelihatan stabil meskipun terlantar di katil hospital dan percakapannya kurang jelas ketika cuba menjawab pertanyaan pengguna yang masuk ke ‘live’.
“Ya, Datuk (Ahmad Zaharil Muhaiyar) ada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekarang disebabkan serangan jantung,” katanya.
Peguam Kotak Pensil sedang terima rawatan
Raja Adzfa turut berkongsi foto suaminya di hospital menerusi akaun TikTok ‘Kak Engku Effa’ sambil memohon doa orang ramai.
“Kepada sahabat maya saya sekalian, tolong doakan suami saya (Tok Mat) sembuh seperti sedia kala.. heart attack (serangan jantung).
“Anugerahkanlah kesembuhan kepada suamiku ya Allah agar dia boleh terus berbakti kepada orang yang memerlukannya,” tulisnya.
Hantaran tersebut menerima lebih 5,000 komen daripada warganet yang mendoakan kesembuhan Ahmad Zaharil.
Artikel lain: Inkues Zara Qairina: Peguam Tertuduh Tidak Dibenarkan Jadi Pihak Berkepentingan
Sekadar info, beliau digelar ‘Peguam Kotak Pensil’ selepas kisahnya membela seorang wanita India yang dituduh mencuri kotak pensil pada 1998 kembali tular pada 2023.
Kisah penuh keinsafan itu membuatkan namanya dikenang sebagai peguam berhati mulia yang membela golongan susah.
Sumber: TikTok Kak Engku Effa
