Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail mempertahan kepimpinan dan pengurusan badan organisasi itu yang terpalit dengan pelbagai dakwaan berat menerusi satu ‘surat layang’ pada Ahad.
Menerusi laporan Bernama, beliau berkata bahawa sudah membaca keseluruhan dakwaan yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu dan mendapati ia tidak benar sama sekali.
“Kesemua dakwaan yang dibuat, antaranya FAM tidak telus dalam proses pemberian tender membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan adalah sesuatu yang sangat berat dan mampu mencemarkan imej badan induk itu, selain membantutkan perkembangan bola sepak di Malaysia.
“Bagi saya tuduhan-tuduhan itu tidak benar kerana setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil, kita buat dalam mesyuarat exco, di mana mesti ada satu keputusan yang konsensus di antara kita, barulah setiap keputusan itu dilaksanakan,” katanya
Foto: Flash Sukan
Beliau turut menjelaskan berkenaan isu tender yang dirasakan tidak betul kerana sistem tender dibuat secara terbuka, semua pihak dijemput dan diminta untuk menilai dari segi keupayaan syarikat membabitkan setiap keputusan dan cadangan daripada pengurusan ataupun perunding yang dilantik haruslah mendapatkan kelulusan exco.
Dalam pada itu, Rosmadi turut mengesahkan tiada keputusan yang dibuat secara bersendirian di FAM dan beliau secara peribadi berpuas hati dengan sistem serta cara kerja badan induk itu, sekali gus tidak menolak kemungkinan kesemua dakwaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati, dendam dan dengki.
“Saya yakin semua exco termasuk saya amat yakin dengan sistem yang dilaksanakan dan berada di belakang Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta seluruh jawatankuasa yang dinyatakan dalam dakwaan yang dibuat itu,” katanya.
Foto: FAM