Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kemayang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, mangsa, Muhamad Irfan Mohd Afendi, dilaporkan hilang di hadapan mata ayahnya, Mohd Afendi Ya, 44.
Mohd Afendi berkata, dia ke pantai berkenaan bersama isterinya, Kartini Mahmood, 44, dan dua anak bagi memenuhi permintaan Irfan yang mahu mandi pantai kerana minggu depan akan berkhatan.
“Kami sudah mahu balik dah masa panggil anak, kami lihat dia makin lama semakin jauh dipukul ombak, saya lihat dia terkapai-kapai melambai tangan.
“Saya cuba capai tangan anak tapi tak sampai dan anak hilang depan mata,” katanya, hari ini.
Murid Tahun Tiga Dikhuatiri Lemas
Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, PBKI Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.14 malam.
Menurutnya, seramai 33 anggota bomba Bachok termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPA) Pengkalan Chepa serta bomba sukarela digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu kenderaan pacuan empat roda (4×4).
“Setakat ini bomba membuat pencarian di pesisir pantai dengan radius keluasan lima kilometer sejak petang tadi sehingga malam ini.
“Kita akan teruskan pencarian di pesisir pantai dan selaman akan dibuat pagi esok kerana keadaan ombak yang kuat dan berisiko, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui dan operasi pencarian diteruskan,” katanya.
Artikel lain: Peranti Buatan Sendiri Punca Berlaku Letupan Di Kawasan Pangsapuri
Beliau berkata, Pusat Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka di pantai berkenaan bagi operasi mencari murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Kota Jembal itu.
Sumber: Harian Metro (Nor Amalina Alias)
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































