Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini mencerminkan pendekatan diplomasi progresif Malaysia yang bukan sahaja relevan dengan perubahan geopolitik semasa, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara langsung.
Lawatan PM Anwar ke tiga negara
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Hadiyan Nik Azman menyifatkan lawatan PM Anwar sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan hubungan dua hala, membuka pasaran baharu, serta menempatkan Malaysia dalam radar negara-negara ekonomi utama dunia.

Dr Nik Hadiyan Nik Azman
“Lawatan ini bukan sekadar simbolik atau rutin diplomatik. Ia melibatkan kerjasama konkrit seperti pelaburan, pemindahan teknologi dan rundingan perdagangan dalam sektor bernilai tinggi termasuk tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), pendidikan tinggi dan eksport halal,” katanya kepada Borak Daily.
Tiga negara, tiga peluang besar
Di Itali, tumpuan diberi kepada sektor teknologi pertahanan dan automotif, termasuk kerjasama dengan syarikat Leonardo dan pelabur automotif utama.
Sementara di Perancis, pertemuan dengan pemain industri seperti Airbus dan Renault membuka laluan kepada pelaburan serta pemindahan teknologi terkini.
Brazil pula menawarkan potensi besar dalam pertanian pintar, eksport halal serta penyertaan Malaysia dalam digitalisasi luar bandar dan pembangunan tenaga bio. Malaysia turut mengintai peluang meluaskan pasaran produk berasaskan sawit ke rantau Amerika Latin.
“Nilai potensi pelaburan yang dirundingkan dianggarkan melebihi RM10 bilion. Ini bukan janji kosong tetapi pelaburan sebenar yang dijangka akan memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan,” ujar Dr. Nik Hadiyan.
BRICS: Platform baharu Malaysia di mata dunia hasil lawatan PM Anwar
Kemuncak lawatan PM Anwar adalah penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil. Walaupun bukan anggota tetap, kehadiran Anwar dilihat sebagai isyarat komitmen Malaysia dalam memperjuangkan sistem ekonomi dunia yang lebih seimbang dan inklusif.
Tiga mesej penting dibawa oleh PMX dalam sidang tersebut iaitu sokongan kepada kerjasama pelbagai hala yang adil, kebimbangan terhadap ketidakseimbangan sistem kewangan global serta seruan ke arah perdagangan dan pasaran global yang lebih saksama.
“PMX dengan tegas menyatakan bahawa Malaysia kekal berkecuali dan bebas, tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa besar. Ini adalah pendekatan luar negara yang matang dan berprinsip,” jelasnya lagi.
Artikel lain: Tuduhan Lawatan Rasmi PM Hanya ‘Jalan-Jalan’ Cerminan Kepemimpinan Berminda Kecil – Farhan
Impak langsung kepada Malaysia
Sementara itu, Dr Nik Hadiyan menyenaraikan tiga manfaat utama kepada Malaysia hasil lawatan PM Anwar iaitu peningkatan Pelaburan Asing (FDI) dimana pelabur dari Eropah dan Amerika Latin menunjukkan minat tinggi terhadap sektor teknologi hijau, kenderaan elektrik dan logistik.
“Selain itu, peluang perdagangan baharu dengan pasaran eksport halal dan sawit ke Brazil, serta produk teknologi ke Eropah kini sedang dibuka secara aktif.
“Malah, kerjasama pendidikan dan latihan melalui rundingan pertukaran pelajar dan program latihan industri sedang dijalankan dengan institusi pendidikan di Itali serta Perancis turut memberi manfaat,” ujar pensyarah tersebut.
Malaysia sebagai pemain diplomatik serius
Tambah Dr Nik Hadiyan, dasar luar Malaysia di bawah Anwar kini lebih terbuka dan progresif, tidak hanya tertumpu kepada hubungan tradisional dengan negara besar seperti Amerika Syarikat dan China, tetapi turut mengembangkan jaringan diplomatik ke Eropah Selatan dan Amerika Latin.
“Malaysia kini tidak lagi dilihat sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai penyumbang aktif dalam membentuk dunia yang lebih adil dan seimbang. Ini penting bukan hanya untuk imej negara, tetapi untuk kesejahteraan jangka panjang rakyat,” tambahnya.
Justeru, lawatan PM Anwar ke ketiga-tiga negara itu merupakan langkah diplomatik yang tersusun, bukan gimik politik. Ia memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi global, mencipta peluang baharu dan memposisikan negara sebagai kuasa sederhana yang dihormati.
“Rakyat perlu diberi maklumat jelas mengenai hasil dan impak sebenar lawatan ini. Bukan sahaja untuk menepis persepsi negatif, tetapi supaya kita semua sedar bahawa diplomasi hari ini adalah pelaburan untuk masa depan,” tegas Dr Nik Hadiyan.
