Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025, penurunan 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang direkodkan untuk suku yang sama pada 2024.
KWSP catat RM18.31 bilion jumlah pelaburan

Foto: Maukerja
Memetik laporan Harian Metro, jumlah ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum diperoleh akibat turun naik kadar pertukaran asing.
Bukan itu sahaja, sejajar dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn menjelaskan pasaran global menjadi tidak menentu pada awal tahun 2025 ekoran ketegangan perdagangan yang kembali meruncing dan ketidaktentuan dasar.
“Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekali gus menjejaskan tahap penerimaan risiko.
“Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang,” kata Ahmad Zulqarnain, hari ini.
Selain itu, ekuiti menyumbang RM10.81 bilion, turun 23 peratus daripada RM14.02 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2024.
Penurunan ini berpunca daripada prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar.
Menurut KWSP, ekuiti menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, sementara instrumen pendapatan tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Foto: Harian Metro
“Instrumen pendapatan tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti.
“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada suku pertama 2025, manakala pasaran wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.
“Daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk simpanan konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk simpanan shariah,” jelasnya.
Sehingga Mac 2025, hampir RM1.26 trilion jumlah aset pelaburan KWSP, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh itu, pelaburan luar negara telah memperoleh RM8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Seterusnya, pelaburan domestik, merangkumi 62 peratus daripada jumlah aset, memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk, kata KWSP.
Ahmad Zulqarnain turut memaklumkan, KWSP kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik.
Sementara itu, semakan penurunan dalam unjuran pertumbuhan global dan serantau, termasuk Malaysia, mencerminkan risiko luaran yang semakin meningkat di samping dinamik perdagangan global yang berubah.

Foto: Dewan Ekonomi
“Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar dan tidak menentu, KWSP mengekalkan portfolio yang dinamik dan pelbagai bagi melindungi nilai dan mengurus risiko penurunan.
“Kami terus giat meneroka peluang pelaburan di pasaran serantau dan antarabangsa untuk mengukuhkan portfolio dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang untuk ahli.
“Dalam tempoh yang dikaji, KWSP telah mendaftarkan 140,111 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian meningkat kepada 16.3 juta. Daripada jumlah ini, 8.88 juta adalah ahli aktif, mewakili 51.3 peratus daripada 17.31 juta tenaga buruh,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Dividen KWSP Cerminan Ekonomi, Dipacu Prestasi Pasaran Global Dan Domestik
Untuk rekod, jumlah caruman meningkat sebanyak 15.1 peratus kepada RM33.54 bilion, berbanding RM29.13 bilion pada suku pertama 2024, manakala jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 62 peratus kepada RM7.02 bilion, berbanding RM4.33 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Malah bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah sebanyak 10,990 pada suku pertama 2025, berbanding 6,771 dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Sumber: Harian Metro
