Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas diserang buaya ketika menjala udang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kampung Segaliud, pada Rabu.
Mayat ditemui tidak sempurna
Memetik laporan Sinar Harian, Mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dijumpai terapung kira-kira jam 9.55 pagi, sekitar 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh memaklumkan, penemuan itu berlaku pada hari kedua operasi SAR dijalankan.
“Operasi hari ini bermula pada jam 9.15 pagi dengan kerjasama agensi penyelamat lain serta penduduk kampung sebelum mangsa ditemukan di tepi sungai oleh pasukan bomba.
“Keadaan mangsa tidak sempurna dengan kedua-dua kaki dan tangan dipercayai putus,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi,” terangnya.
Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan menjala udang bersama bapanya di sungai tersebut sebelum diserang buaya dan hilang dari pandangan.
Artikel lain: Jala Udang Bertukar Tragedi! Bapa Saksi Anak Dibaham Buaya Depan Mata
Dalam insiden itu, bapanya menyaksikan sendiri mangsa dibaham reptilia berkenaan sebelum segera mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)







































