“Kenapa tangan ringan nak pukul anak orang? Umur muda dan tenaga banyak, patut guna untuk tanggung keluarga,” itu nasihat Majistret Rais Imran Hamid kepada Orang Kena Saman (OKS), Syed Zamri Syed Zainuddin, 20.
Menurut laporan Harian Metro, nasihat berkenaan diberikan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas tunangnya pada 21 Februari lalu.
Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19, di sebuah rumah di Taman Ehsan, Kota Bharu, kira-kira jam 5.30 petang, pada 21 Februari lalu.

Foto: Sinar Harian
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sewa tertuduh sebelum tercetus pertengkaran antara mereka yang berakhir dengan pergelutan.
Insiden itu menyebabkan mangsa mengalami lebam pada bahagian lengan kanan serta lengan bawah kanan, seperti disahkan dalam laporan pegawai perubatan.

Foto: Media sosial
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Terdahulu, Nik Nazriani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum terhadap anak guamnya atas alasan ia merupakan kesalahan pertama dan tertuduh berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Muhammad Syamsul Ikhmal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain memberi peringatan kepada masyarakat awam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengasas kosmetik mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa kekerasan bekas tunang yang juga seorang pempengaruh media sosial.

Foto: BH Online
Fara Sharina Zamari, 37, berkata, mangsa didakwa dipukul, dicekik, ditendang sehingga menyebabkan remaja terbabit mengalami lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan.
“Jika diikutkan anak saya sepatutnya mendirikan rumah tangga pada 10 Syawal ini, namun pertunangan dibatalkan selepas kejadian itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Hidayatidayu Razali)







































