RHB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan satu inisiatif baharu dikenali sebagai MyTVETKPM, iaitu kad pintar pelbagai guna yang direka khas untuk pelajar di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
RHB Islamic, KPM Lancar Kad Pintar MyTVETKPM
Menurut laporan BH Online, kad ini bukan sekadar berfungsi sebagai kad pengenalan pelajar atau kad matrik, malah turut bertindak sebagai kad debit RHB. Dengan ini, para pelajar boleh mengurus kewangan serta melakukan transaksi tanpa tunai dengan lebih mudah dan selamat.

Foto: BH Online
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 74,000 pelajar dari 86 kolej vokasional serta 9 sekolah menengah teknik di seluruh negara. Ia dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh sektor TVET sebagai sumber utama pembangunan modal insan masa hadapan.
Menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali, pelancaran MyTVETKPM selari dengan usaha kerajaan untuk memajukan bidang TVET.
Artikel lain: Majlis Pakar CoExp Dibentuk, Pacu Kualiti Dan Relevansi TVET Negara
“TVET merupakan tunjang kepada sektor industri dan perkhidmatan negara. Kami di RHB berbangga dapat memainkan peranan melalui penyelesaian kewangan yang praktikal dan sesuai dengan keperluan pelajar,” katanya.
MyTVETKPM merupakan kesinambungan daripada kejayaan program MySISWA yang dilancarkan pada tahun 2022, yang kini telah memanfaatkan lebih 600,000 pelajar di 20 universiti awam di Malaysia.
Melalui pembukaan Akaun Simpanan-i RHB Pro, pelajar akan memperoleh manfaat kad pintar ini sebagai ‘satu kad untuk semua’ yang boleh digunakan untuk menyimpan wang, membuat pembelian, dan menikmati pelbagai promosi serta diskaun eksklusif.
Diskaun yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, pengangkutan, pendidikan, gaya hidup dan juga perkhidmatan telekomunikasi, hasil kerjasama dengan rakan niaga strategik RHB.

Foto: Malaysia Gazette
Tambah Adissadikin lagi, kad ini bukan sahaja memudahkan urusan kewangan, malah menyokong peningkatan literasi kewangan dalam kalangan pelajar.
“Ia memupuk tabiat menabung, menyokong pengurusan kewangan yang bijak, serta menyumbang ke arah peralihan kampus pintar tanpa tunai secara menyeluruh,” ujarnya.
Perlaksanaan inisiatif ini dimeterai menerusi perjanjian kerjasama antara RHB Islamic dan Yayasan Didik Negara, sebuah entiti filantropi rasmi di bawah KPM pada tahun 2024.
Sumber: Berita Harian Online (Hazwan Faisal Mohamad)
