Aktivis Tamim Dahri dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan tenang walaupun kini direman selama dua hari, malah tetap menunjukkan semangat tinggi untuk meneruskan perjuangannya.
Aktivis Tamim Dahri direman
Menurut laporan Malaysia Tribune, peguamnya Aidil Khalid, Tamim juga sempat memohon untuk membawa bersama senaskhah al-Quran ke lokap.

Foto: Facebook Khalid Ismath
Perkara itu dimaklumkan Aidil ketika ditemui media sejurus selesai prosiding reman di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.
“Sebenarnya sejak semalam lagi, sebelum dia dibawa masuk ke lokap, dia mesej saya.
“Dia beritahu lupa nak bawa al-Quran sebelum datang. Jadi sekali lagi dia minta kalau boleh uruskan untuk disampaikan senaskah al-Quran ke dalam sana dan kita dah uruskan.
“Itu yang pertama. Yang kedua, dia memang okey lah. Dia masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Foto: Malaysia Tribune
Difahamkan, Tamim dan tiga individu lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah di sebuah kuil di Rawang, Selangor pagi semalam.
Sementara itu, Aidil memaklumkan pihak polis pada awalnya memohon perintah reman selama empat hari bagi membantu siasatan, namun mahkamah hanya meluluskan tempoh dua hari bermula daripada tarikh tangkapan.
Artikel lain: Empat Lelaki Ditahan Kes Ceroboh Kuil Di Rawang
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan pihak berkuasa masih boleh mengemukakan permohonan lanjutan sebelum tempoh reman itu berakhir.
“Tamim ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam. Jadi, sebelum jam 10 pagi esok, dia sewajarnya dibebaskan.
“Sekiranya ada arahan untuk memfailkan lanjutan, kami akan hadir dan membantah permohonan tersebut,” ujarnya.

Foto: Facebook Aidil Khalid
Dalam prosiding sama, pihak pembelaan turut mengemukakan beberapa dokumen bagi mempertikaikan asas siasatan yang dijalankan. Antara yang dibentangkan termasuk bukti bahawa kerja-kerja pembersihan kawasan itu dibuat atas permintaan Yayasan Kubra selaku pemilik sah tanah berkenaan.
Menurut Aidil, yayasan terbabit sebelum ini telah mengeluarkan notis kepada individu yang didakwa menceroboh kawasan tersebut, selain membuat laporan polis sejak 2018.
Namun katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan lanjut diambil.
Beliau turut mendakwa pihak yayasan ada menghubungi pihak berkuasa tempatan berhubung isu itu, tetapi dimaklumkan supaya menguruskan perkara berkenaan secara sendiri.
Aktivis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 504 (dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan) dan Seksyen 295 (mencemarkan tempat ibadat).
Sumber: Malaysia Tribune (Khadijah Mohamad Nor)








































