Seorang bapa mengaku telah membunuh lima orang anaknya kerana tidak tahan mendengar tangisan. Perbuatan itu telah pun dilakukan oleh suspek, Songsak Songsaeng, 46, sejak 10 tahun lalu.
Bapa bunuh 5 anak sebab tak tahan dengar tangisan
Segalanya terbongkar selepas influencer, Kanthas Phongphaibulwet melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak di sebuah apartmen di daerah Bang Khen, Bangkok, Thailand.
Menurut influencer berkenaan, dia mendapat tahu mengenai insiden tersebut selepas membantu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan empat tahun yang mendakwa menjadi mangsa pukul bapa.
Malah, suspek yang ditahan pada 10 September lalu juga mengaku membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun.
“Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dilaporkan telah menghilang sebelum polis melakukan siasatan dan menangkap suspek.
“Suspek juga telah mengaku membunuh anaknya yang berusia 2 tahun dan menyembunyikan di sebuah rumah terletak di Wilayah Kamphaeng Phet.
“Kegiatan itu juga dibantu oleh isteri suspek yang juga ibu kepada kanak-kanak terbabit,”lapor Thairath.
Suspek juga membunuh empat anak lelakinya antara 2013 hingga 2018 seperti mana dilaporkan oleh media tempatan Thailand.
Difahamkan, suspek memiliki 10 orang cahaya mata antara enam bulan hingga 22 tahun hasil perkahwinan dengan empat isterinya.
Tanam mayat dalam plastik, simen bawah lantai dapur
Hasil siasatan, pihak polis telah menemui mayat seorang budak perempuan pada Selasa lalu yang dibungkus dalam beg sampah.
Bahkan, mayat budak itu juga ditanam di bawah tanah di rumah isteri ketiga lelaki tersebut bernama Sunan.
“Ibu kepada kanak-kanak itu mengaku telah memukul anaknya telah kuat.
“Mereka menanam mayat anak itu di bawah lantai dapur di rumah Sunan di Kamphaeng Phet.
“Sebelum itu, mayat tersebut dimasukkan ke dalam tiga lapisan beg plastik sampah sebelum dimasukkan ke dalam lantai dapur. Mereka kemudiannya saling membantu simen untuk menutupnya,”maklum polis.
Artikel lain: Kes Bunuh Guna Tukul: Anak Tak Sangka Nyawa Ibu Melayang Di Tangan Bapa Tiri
Sementara itu, polis mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang ditemui selamat dengan kakaknya berusia 12 tahun telah kehilangan penglihatan akibat penderaan fizikal.
Dalam perkembangan lain, suspek dikatakan menerima rawatan bagi masalah kesihatan mentalnya selain mengakui benci mendengar bunyi tangisan bayi.
Sumber: Thairath