Di sebalik hiruk-pikuk kota yang sering dikaitkan dengan kesibukan dan individualistik, masih ada sinar kemanusiaan yang menghangatkan hati.
Disamun selepas turun di TBS
Sebuah video yang dikongsikan di laman Facebook rasmi @Oppa Zuzu Restaurant mencuri perhatian ramai apabila memaparkan kisah menyentuh hati seorang remaja lelaki berbangsa India, dipercayai orang kurang upaya (OKU), yang menjadi mangsa samun sebaik tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Menurut perkongsian tersebut, remaja itu dikatakan datang ke Kuala Lumpur dengan harapan untuk mencari pekerjaan. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila dirinya diserang dan disamun oleh individu tidak dikenali sejurus turun dari bas di TBS.
“Saya turun bas kemudian dia tiba-tiba datang tarik beg saya, kemudian pukul kepala saya guna helmet. Beg saya semua diambil,” katanya.
Mangsa memaklumkan kepalanya turut mengalami bengkak akibat dipukul menggunakan topi keledar oleh suspek berkenaan.
Tidak lama selepas kejadian, remaja itu dilihat singgah di restoran Oppa Zuzu, dipercayai untuk meminta segelas air kosong bagi menghilangkan dahaga. Namun, tindakan pemilik restoran itu ternyata jauh lebih besar daripada sekadar memberi air.
Artikel lain: Tak Sampai Enam Jam, Lelaki Dicekup Selepas Samun Rumah Warga Emas
Pemilik restoran tersebut, seorang lelaki Cina Muslim, bukan sahaja menghidangkan nasi goreng dan jus oren kepada remaja itu agar mendapat tenaga semula, malah turut memberinya sepasang selipar baharu apabila mendapati dia hanya berkaki ayam selepas disamun.
Lebih menyentuh hati, remaja itu turut menceritakan bahawa selepas disamun dan sebelum tiba di Oppa Zuzu, dia sudah beberapa kali meminta makanan di tempat lain tetapi tidak diendahkan.
Melihat keadaan remaja berkenaan, pemilik restoran bertindak menempah teksi khas untuk membawanya kembali ke TBS agar dia dapat mencari perlindungan dan bantuan lanjut.
Sebelum berpisah, pemilik restoran itu sempat menyelitkan sedikit wang saku untuk kegunaan remaja tersebut selepas disamun. Terharu dengan kebaikan yang diterima, remaja itu kelihatan seperti mahu sujud di kaki lelaki berkenaan sebagai tanda terima kasih, namun pemilik restoran cepat-cepat menahannya dan memeluknya sebagai tanda kasih sesama insan.
Rakaman berdurasi beberapa minit itu kini tular di media sosial, dengan ribuan komen memuji tindakan pemilik restoran dan mereka yang terlibat.
Ramai yang menyifatkan situasi itu sebagai gambaran sebenar semangat 1 Malaysia, apabila insan pelbagai bangsa bersatu dalam membantu seorang yang dalam kesusahan tanpa mengira warna kulit, agama, atau latar belakang.
Dalam dunia yang kadangkala terasa kejam dan tidak adil, kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa kebaikan masih wujud, dan ia sering datang daripada tempat yang tidak disangka.
Terima kasih insan baik
Semoga budak tu sampai ke tujuan dengan selamat
Inilah Malaysia, berbilang kaum, bantu membantu
Sumber: Facebook @Oppa Zuzu Restaurant







































