Polis Melaka mendedahkan wanita yang mendakwa salah seorang lelaki yang ditembak mati polis dalam insiden di Durian Tunggal baru-baru ini merupakan suaminya, sebenarnya hanyalah kekasih kepada suspek berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita berusia 31 tahun itu bukan isteri sah kepada individu terbabit dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Bukan Isteri Tapi Kekasih
Menurut beliau, suspek yang terlibat dalam insiden tembak menembak tersebut sebenarnya mempunyai isteri yang menetap di Johor, namun telah tinggal bersama kekasihnya itu di Durian Tunggal sejak tiga tahun lalu.
“Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012 termasuk kes curi kenderaan, samun dan cubaan bunuh.
“Wanita itu juga pernah ditangkap di Jasin berkaitan kes samun pada Julai lalu. Bapa wanita itu pula mempunyai 24 rekod jenayah lampau sejak 2022 dan beberapa kes telah dijatuhi hukuman,” katanya, malam tadi.
Dzulkhairi turut mengesahkan bapa wanita berusia 55 tahun itu kini masih dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan.
Artikel lain: Kes Simpan Mayat Isteri: “Mangsa Mati Dilemaskan, Bukan Dikelar” – Pakar Patologi
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai status dua beranak terbabit yang didakwa mempunyai rekod jenayah lampau.
Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga suspek yang ditembak mati menolak dakwaan bahawa kesemua individu berkenaan bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Serangan berkenaan menyebabkan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketiga-tiga suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak 2024 dan disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM1.35 juta.
Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)










































