Seorang anggota polis wanita berusia 26 tahun yang baru menamatkan latihan polis pada Ahad lalu ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semasa operasi awal pagi semalam.
Anggota polis tamat latihan positif dadah
Foto hiasan
Menurut laporan Berita Harian, pegawai yang bakal bertugas di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru Utara itu ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, penahanan tersebut berlaku semasa operasi Ops Hiburan yang dijalankan sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2025.
“Kita telah menahan seorang wanita yang juga seorang pegawai rendah polis dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa penahanan, anggota polis wanita tersebut dilaporkan sedang bercuti sebelum melaporkan diri di bawah pentadbiran Polis Kontinjen Johor.
Artikel lain: Polis Sahkan Empat Maut Selepas Hadiri Konsert Malam Ambang Tahun Baharu
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan ditahan reman selama dua hari sehingga hari ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Difahamkan, anggota polis wanita yang baru tamat latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Ayer Hitam itu dipercayai menghadapi masalah rumah tangga dengan bekas suaminya yang juga merupakan seorang anggota polis.
Sumber: Berita Harian (Safeek Affendy Razali)