Muhammad Amir Hakimi Sabari, anak kepada pesara Felcra, Sabari Baharom yang disyaki dibunuh dengan cara dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra akui kenal dengan suspek dan anggap tindakan itu sangat kejam.
Memetik laporan Bernama, anak lelaki Sabari Baharom bernama Muhammad Amir Hakimi Sabari berkata suspek merupakan seorang kontraktor yang sedang membina rumah jiran di hadapan rumah bapanya sejak lima bulan lalu.
Anak Sabari anggap tindakan suspek kejam
Foto: Sinar Harian
“Saya kenal suspek yang melakukan perbuatan itu terhadap ayah dan tindakannya sangat keterlaluan dan kejam.
“Ayah sering bertembung dengan suspek kerana dia perlu lalu di hadapan rumah yang sedang dibina. Jadi memang mereka selalu bertegur sapa dan berbual. Suspek bukan penduduk kampung ini, dia orang luar dan ayah saya memang baik dengannya.
“Perbuatan suspek terhadap ayah memang keterlaluan, sanggup campak ayah ke dalam sungai. Sedangkan ayah seorang yang sangat baik, kalau suspek minta buah belimbing pada waktu malam pun ayah sanggup pergi petik dan beri padanya. Saya tak sangka dia ada niat jahat,” katanya.
Muhammad Amir, anak bongsu daripada tiga beradik turut berkata mereka sekeluarga sangat sedih selepas pihak polis memaklumkan perkembangan kes itu dan berharap jasad ayahnya dapat ditemui secepat mungkin.
Foto: Sinar Harian
“Selagi mayat ayah tak dijumpai, kami akan terus melakukan solat hajat sehingga ayah ditemui. Saya harap pihak yang melakukan pencarian ini dapat menemukan cara terbaik untuk mencari ayah saaya, lebih-lebih lagi dengan keadaan banjir sekarang.
“Saya sebagai anak lelaki perlu kuat demi keluarga. Kalau saya tumbang, semua akan runtuh. Ada beberapa maklumat yang saya ketahui, tapi saya tunggu dulu kenyataan daripada pihak polis kerana bimbang tersilap kata,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam sungai dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat, namun jasad mangsa yang hilang sejak 4 September lalu belum ditemui.
Foto: Sinar Harian
Maklumat tersebut diperoleh susulan penahanan suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu.
Sumber: Bernama